KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN) Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa golongan pengundi muda, penjawat awam dan masyarakat luar bandar semakin kecewa terhadap prestasi Kerajaan Campuran Umno-PH menyebabkan Kerajaan Negeri Pahang kini sedaya upaya cuba mewajahkan bahawa mereka adalah kerajaan yang kompeten.
Adun Cheka itu berkata, beliau melihat akhir-akhir ini sokongan rakyat terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN) sama ada di seluruh negara umumnya atau di negeri Pahang khasnya semakin jelas menunjukkan peningkatan yang ketara dan tersusun.
Ujarnya, perkembangan ini bukan sahaja dilihat melalui kehadiran yang memberangsangkan dalam pelbagai program akar umbi, tetapi turut disokong oleh kajian bebas dan dapatan pemerhatian di lapangan.
“Bukan sekadar itu sahaja, kita juga dapat melihat bahawa rakyat sudah semakin menolak apa sahaja cakap-cakap atau penjelasan dari kerajaan dalam sesuatu isu.
“Pola penolakan terhadap Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Umno-PH oleh golongan pengundi muda, penjawat awam dan masyarakat luar bandar yang semakin kecewa terhadap prestasi Kerajaan Campuran Umno-PH menyebabkan Kerajaan Negeri Pahang kini sedaya upaya cuba mewajahkan bahawa mereka adalah kerajaan yang kompeten.
“Walaupun semalam Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur. Sepatutnya, pelaburan tinggi mampu menjadikan rakyat Pahang menikmati taraf hidup yang tinggi dan lebih baik.
“Namun jika dilihat pada realiti, Kerajaan Negeri Pahang masih gagal menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan dan bekalan air di kawasan luar bandar yang menyebabkan rakyat berasa terpinggir,” bidas Tuan Ibrahim.
Timbalan Presiden Pas itu berkata lagi, rakyat juga pastinya sedar bahawa retorik reformasi yang dijanjikan kerajaan kini dilihat hambar, apabila dasar kerajaan lebih menjurus kepada keputusan populis tanpa penyelesaian jangka panjang.
“Malah tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa Kerajaan Madani yang dibentuk daripada gabungan Pakatan Harapan dan Umno gagal untuk menyantuni suara rakyat secara menyeluruh.
“Menyedari hakikat ini, “Pas Teraju Pahang” melalui Pas dan PN akan terus mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih jujur dan berprinsip, menawarkan solusi Islamik, dasar berpaksikan rakyat dan urus tadbir yang bersih. Keupayaan jentera Pas di peringkat kawasan dan cawangan dalam menggerakkan dakwah, kebajikan dan advokasi isu rakyat Pastinya menjadi satu bukti untuk para pengundi dan rakyat yakin serta tidak sangsi terhadap parti ini sebagai alternatif yang terbaik.
“Insya- Allah, kita yakin bahawa rakyat Pahang sedang bersedia memberikan mandat baharu kepada Pas dan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
“Gelombang ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kepimpinan yang berintegriti, cakna dan berani mempertahankan hak serta kebajikan rakyat, selari dengan nilai-nilai Islam yang menjadi teras perjuangan Pas,” tegasnya.
Tuan Ibrahim memberitahu “Pas Teraju Pahang” bukan sahaja menawarkan perubahan, tetapi membina harapan yang berpaksi kepada prinsip dan amanah.



