Aib pesta gay di negeri serambi Mekah, Pas tak mahu tutup mata demi jaga persepsi – Fadhli

KUALA LUMPUR – Pas sangat menghargai tindakan tegas polis menyerbu pesta gay yang mencemarkan maruah negeri Kelantan.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, kejadian ini sememangnya memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di Kelantan – negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.

Namun kata ahli Parlimen Pasir Mas itu yang lebih penting daripada rasa malu itu ialah keberanian untuk membasmi kemungkaran.

Kata Fadhli, ubat memang pahit, tetapi selagi penyakit masih bersarang, kita wajib memaksa diri untuk menelannya.

“Tahniah kepada Polis Kelantan atas tindakan tegas menyerbu pesta gay yang mencemarkan maruah negeri. Usaha ini wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang ini lenyap dari bumi Kelantan. Kita berharap polis terus konsisten, banteras budaya ini hingga ke akar umbi.

“Kerajaan Kelantan juga wajar diberikan lebih ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala ini tanpa sebarang sekatan.

“Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan misalnya pada 25 Februari 2021 telah membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan,” katanya.

Justeru menurut beliau lagi, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia memalukan kerana berlaku di Kelantan. Jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018, atau parti Halloween LGBT pada Oktober 2022, di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023, bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022 di mana polis menemui kondom, pelincir, dan dadah jenis ketamin – tentu ia tidak memalukan. Bahkan itu dianggap biasa.

“Tetapi apabila ia berlaku di Kelantan, maka ia dikata mengaibkan. Namun begitu, yang lebih utama ialah tindakan berani membanterasnya, bukan menutup mata demi menjaga persepsi.

“Sekali lagi tahniah PDRM! Teruskan sehingga Kelantan bersih sebersih-bersihnya,” ujar Fadhli.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat