KUALA LUMPUR – Parti Bersatu kerah ahli-ahlinya untuk sama-sama menjayakan Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang akan diadakan di ibu negara, 26 Julai ini.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, persetujuan untuk menyokong himpunan aman itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu petang semalam.
“Kerahan akan dibuat pada semua peringkat kepimpinan dan orang awam untuk berhimpun secara aman demi perjuangan membebaskan rakyat dari kezaliman dan menjunjung Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang digerakkan Pas itu akan diadakan di sekitar ibu negara pada 26 Julai ini dengan sasaran penyertaan seramai 50,000 orang.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, himpunan itu sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Azmin berkata, mesyuarat MPT Bersatu petang semalam turut bersetuju supaya Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelopori usaha mewujudkan persefahaman dengan parti-parti di luar blok kerajaan dan mewujudkan sebuah Barisan Pembangkang Bersatu (United Opposition Front).
Katanya, ia bertujuan membincangkan dan mengambil pendirian bersama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Cadangan ini akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan pada hujung minggu ini,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, mesyuarat sama turut mengerahkan semua pimpinan membantu meningkatkan gerak kerja di kawasan-kawasan tumpuan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jelasnya, MPT Bersatu mengikuti perkembangan dan senario politik di Sabah yang memberi keyakinan bahawa rakyat Sabah menerima baik dan mendukung perjuangan Bersatu serta PN.
Dalam masa sama, ujarnya, MPT Bersatu turut menerima cadangan dan meluluskan program Infaq Bersatu yang bertujuan untuk mendapatkan dana bagi aktiviti parti tersebut.
“Sumbangan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin membantu agenda rakyat terus diperjuangkan bersama Bersatu,” katanya.



