Negara tuan rumah berhak terima, tolak pencalonan Nick Adams, Kabinet masih tunggu memo Kementerian Luar – Fahmi

KUALA LUMPUR – Malaysia berhak menerima atau menolak mana-mana calon yang diusulkan sebagai perwakilan negara asing ke negara ini, susulan bantahan pelbagai pihak terhadap pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil berkata, secara diplomasi sebagai negara tuan rumah sesebuah kerajaan perlu menerima pelantikan yang diusulkan oleh negara asal.

“Itu dalam bidang diplomasi. Samalah juga sebelum ini kalau kita teliti sejarah dalam kerajaan menamakan ataupun mencadangkan perwakilan Malaysia ke negara asing perlu mendapat persetujuan daripada negara tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia, di kementeriannya, hari ini.

Fahmi ditanya sama ada sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia boleh menolak pelantikan Adams apabila ia dikemukakan kelak.

Sementara itu beliau berkata Kabinet masih belum menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan pengulas konservatif yang juga penulis itu.

Katanya, secara kebiasaan Jemaah Menteri akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai mana-mana pelantikan duta ataupun perwakilan asing yang baharu.

“Waktu ini perkara itu belum lagi dibawa ke perhatian Jemaah Menteri. Mungkin selepas kita ada maklum balas yang terkini. Tapi waktu ini belum lagi sampai ke Jemaah Menteri,” katanya lapor BH di Putrajaya pada Selasa.

Justeru, beliau yang juga Menteri Komunikasi, berkata sebarang keputusan kerajaan berhubung pelantikan Adams sebagai Duta Besar ke Malaysia perlu menunggu mesyuarat Kabinet.

Pengumuman Presiden Donald Trump sebelum ini mengenai pencalonan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik negara ini.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, berkata ketika ini Kabinet masih belum lagi menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan Adams, seorang pengulas konservatif yang juga penulis sebagai Duta Besar AS yang baharu ke Malaysia.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.

Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, turut berkongsi pendirian sama supaya kerajaan menolak pelantikan Adams.

Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, Khairy turut membangkitkan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang membenarkan negara untuk menolak duta yang dilantik.

“Kini terpulang kepada Wisma Putra,” katanya.

Artikel 4, Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 menyebut negara asal mesti memastikan bahawa agrément dari negara penerima telah diberikan untuk individu yang dicadangkan sebagai ketua misi ke negara terbabit.

Negara penerima tidak diwajibkan untuk memberikan alasan kepada negara yang menghantar atas penolakan agreement.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat