KUALA LUMPUR – Pelantikan hakim mahkamah atasan dijangka akan selesai selepas persidangan Majlis Raja-Raja ke 269 pada 15 hingga 17 Julai depan sekali gus bakal mendiamkan suara-suara politik murahan.
Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan menegaskan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan bukanlah isu tetapi sengaja digunakan untuk tujuan politik murahan pembangkang dan ada dikalangan mereka yang terpesona.
“Yang di-Pertuan Agong sudah keluarkan titah isu hakim ini jangan dipolitikkan sebab di sana ada hal berkaitan Perlembagaan dan peraturan negara.
“… dan kita kena ingat perkara ini melibatkan empat pemegang taruh yang terbesar iaitu Agong; Majlis Raja-Raja; Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang mana perlu mendapat persetujuan keempat-empat pemegang taruh ini.
“Mungkin mereka perlu mencari calon yang sesuai untuk dilantik.
“Minggu depan Majlis Raja-Raja akan bersidang mungkin kemelut ini akan selesai, yang penting kita beri kepercayaan kepada pemegang-pemegang taruh menyelesaikan isu ini yang sebenarnya bukan isu tapi sengaja digunakan untuk tujuan politik murahan pembangkang dan ada dikalangan kita yang terpesona,” bidas Sany yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah.
Sany berkata demikian mengulas kenyataan Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjawab dakwaan mengejutkan bahawa bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung perkhidmatannya kerana satu ucapan yang disampaikannya di Malta.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menolak sekeras-kerasnya idea bahawa kenyataan seperti itu boleh menjadi alasan sah untuk tidak menyambung khidmat ketua hakim negara.
Dalam ucapannya semasa Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta pada April lalu, Tengku Maimun berkata menghapuskan penglibatan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman boleh membantu mengurangkan persepsi mengenai campur tangan politik dalam badan kehakiman.
Tengku Maimun mendedahkan terdapat cadangan terkini untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 serta Perlembagaan Persekutuan bagi mengeluarkan peranan Perdana Menteri daripada proses pelantikan.



