Teguran EAIC, DOF komited perkukuh integriti & semak semula proses kelulusan bot kenka

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil maklum teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan proses kelulusan bot kenka dan pertukaran zon.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata DOF mengalu-alukan dapatan tersebut sebagai asas penambahbaikan dalam memperkukuh tadbir urus serta pelaksanaan dasar perikanan negara.

“Teguran EAIC akan dijadikan panduan penambahbaikan dan jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelulusan yang bercanggah dengan dasar,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.

“Kami komited untuk menyemak semula semua proses bagi memastikan ketelusan dan pematuhan.

“Susulan itu, DOF telah mengambil beberapa langkah segera termasuk menyemak semula semua kelulusan melibatkan bot kenka dan pertukaran zon serta memperkemas garis panduan teknikal serta memperkukuh semakan silang dan audit dalaman,”katanya lagi.

Ujarnya, tindakan ini bertujuan memastikan sebarang kelemahan ditangani secara sistematik dan berkesan.

“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber perikanan negara, jabatan bertanggungjawab memastikan sumber ini diurus secara lestari, berintegriti dan memberi manfaat kepada negara serta komuniti nelayan,”ujarnya lagi.

Tambahnya, DOF akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, berlandaskan dasar, integriti tadbir urus dan kepentingan negara.

Pada 7 Julai lalu media melaporkan EAIC telah menerima aduan terhadap DOF berkaitan dengan tindakan meluluskan permohonan melibatkan bot kenka dan permohonan pertukaran zon yang dikatakan tidak mengikut ketetapan syarat/ pekeliling pelesenan serta bercanggah dengan dasar perikanan sedia ada.

Menurut EAIC, siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Katanya, siasatan mendapati terdapat tindakan oleh DOF dalam meluluskan pertukaran hak milik vesel nelayan yang tidak mematuhi dasar dan syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan
itu sendiri.

“EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan ini kepada Ketua Setiausaha KPKM dengan syor menerusi surat teguran diberikan kepada Ketua Jabatan untuk memastikan pematuhan ke atas dasar dan syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan.

“Selain itu, pihak DOF menyemak semula kelulusan yang telah diberikan kepada vesel-vesel yang terlibat bagi memastikan ketelusan dan pematuhan kepada pekeliling sedia ada, ”katanya lagi. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat