KUALA LUMPUR – Umno Sembrong merayu pucuk pimpinan parti mengadili penggantungan keahlian bekas ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengikut proses dan amalan parti.
Ketuanya Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, proses itu termasuk kenyataan bertulis sebab penggantungan daripada Lembaga Disiplin, selain memberi peluang bekas ketua bahagian terbabit menjawab setiap pertuduhan terhadapnya.
“Umno perlu ikut proses dan amalan biasa Lembaga Disiplin hadapkan yang dituduh kepada lembaga, bentangkan tuduhan dan beri peluang individu itu menafikan tuduhan tersebut. Kemudian, lembaga akan menimbang secara adil.
“Jika benar ada pelanggaran disiplin, ia perlu dibuktikan melalui proses telus dan adil seperti diamalkan Umno sejak dulu,” lapor FMT pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya mengikut semua proses ditetapkan dalam membawa usul penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
“Usul (tarik balik penggantungan Hishammuddin) yang dibawa Umno Sembrong sebelum ini juga mengikut prosedur sedia ada, di mana ia dibincang dalam jawatankuasa usul, dimaklumkan jawapan dan keputusan kepada pembawa usul.”
Isnin lalu, Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, MKT Umno boleh mempertimbangkan sebarang rayuan dikemukakan mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin, selaras perlembagaan parti.
Ini selepas Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi pada Ahad lalu mengumumkan pihaknya belum menerima sebarang rayuan atau permohonan rasmi daripada mana-mana ahli untuk menyertai semula Umno.
Zahid dilaporkan berkata, prosedur memerlukan individu ingin sertai semula Umno mengemukakan surat rasmi ke ibu pejabat parti dan semua keputusan akan dirujuk serta diputuskan MKT.
Umno Sembrong dalam mesyuarat agung 21 Jun lalu mengemukakan usul supaya pucuk pimpinan parti mempertimbangkan untuk menerima Hishamuddin semula.
Ketua Umno Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kemudian dilaporkan sudah membawa usul berkaitan ke Biro Politik Umno untuk dibincangkan.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong dilaporkan berkata, beliau enggan merayu kerana tidak tahu sebab keahliannya digantung enam tahun bermula Januari 2023.
Media memetik surat penggantungan itu melaporkan Hishamuddin digantung kerana melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.