KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mendesak kerajaan untuk menangguhkan projek Kota Madani.
Kerajaan juga digesa membentangkan analisis kos-manfaat secara menyeluruh di Parlimen, dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat terbanyak, kata Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Tegas Ahli Parlimen Alor Setar itu, jika kerajaan terus berdegil, maka jelaslah bahawa agenda sebenar di sebalik Kota Madani ini bukanlah untuk kemajuan rakyat, tetapi demi memenuhi nafsu politik dan legasi individu tertentu.
“Pemuda Pas melahirkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap keputusan kerajaan untuk meneruskan projek mega Kota Madani yang diumumkan bernilai sekitar RM4 bilion, sedangkan rakyat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup, kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Walaupun angka rasmi yang diuar-uarkan adalah RM4 bilion, pelbagai indikator menunjukkan bahawa projek ini akan menanggung komitmen kewangan jauh lebih besar dalam jangka masa panjang, berkemungkinan mencecah RM12 bilion ke RM14 bilion sekiranya menggunakan model Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI) yang telah lama dikritik kerana menyembunyikan beban hutang sebenar kerajaan daripada rekod rasmi fiskal negara.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah penglibatan anak syarikat Petronas, Putrajaya Holdings, sebagai pemacu utama projek ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Afnan Hamimi lagi, dalam keadaan keuntungan Petronas merosot, pengurangan tenaga kerja, dan tekanan pelaburan dalam sektor ESG, kerajaan sepatutnya melindungi Petronas dan mengelakkan syarikat milik negara itu daripada menjadi “ATM politik” bagi menjayakan projek-projek elitis yang tidak memberi pulangan komersial wajar.
“Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar projek Kota Madani, termasuk komitmen tahunan yang perlu ditanggung dalam tempoh 20–25 tahun akan datang?
“Apakah pulangan yang bakal diterima oleh rakyat, terutama golongan muda yang akan mewarisi beban hutang ini dan mengapa projek mewah seperti ini diberi keutamaan, sedangkan peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, keselamatan makanan, dan kebajikan rakyat terus dikurangkan?
“Kami mengingatkan kerajaan bahawa masa depan negara tidak terletak pada simbol-simbol kebanggaan Perdana Menteri, tetapi pada kesejahteraan rakyat marhaen,” tegas beliau.
Tambah Afnan Hamimi, dalam keadaan defisit fiskal yang melebar dan hutang negara mencecah RM1.3 trilion, adalah tidak wajar untuk kerajaan menambah komitmen baru melalui mekanisme yang tidak telus dan membebankan generasi akan datang.