KUALA LUMPUR – Kabinet telah bersetuju dengan ketetapan bahawa semua pelajar yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke Program Matrikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Memaklumkan perkara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menjamin sistem kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi kekal dan tidak terjejas.
“Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah bersetuju dengan ketetapan bahawa semua pelajar yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke Program Matrikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Ini termasuk pelajar yang mendapat 10A dan terdapat keputusan mata pelajaran A-. Dasar ini sama seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.
“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang 10A SPM 2024 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian. Pada masa yang sama sistem kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi kekal dan tidak terjejas,” jelas KPM dalam kenyataan.
Menurut kementerian itu lagi, Kerajaan Madani akan terus memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa depan negara.
Menyambut baik ketetapan baharu itu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong melahirkan rasa lega.
“Rasa lega.. Akhirnya suara kami didengar.
“Terima kasih! Tahniah, ” ucap Ka Siong.
Julai tahun lalu, Perdana Menteri memberitahu, keputusan memberi jaminan tempat di program Matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang bukan bermaksud kerajaan menjual maruah orang Melayu, sebaliknya menjadi pendekatan keadilan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pelajar memperoleh keputusan cemerlang harus diberi ruang dan peluang tanpa mengenepikan kuota Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebelum ini saya umumkan (keputusan mengenai) Matrikulasi, itu pun jadi isu politik, dia kata saya jual maruah Melayu. Apa saya umumkan ialah anak-anak kita, Melayu, Cina, India, Dusun, Murut, Bajau, ini anak-anak kita.
“Jadi saya tanya KPM (Kementerian Pendidikan) dan KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi), boleh tak, jadi kita bincang dalam Jemaah Menteri minggu lalu, maknanya boleh, maknanya anak-anak yang 10A, kita jamin tempat di Matrikulasi,” katanya.