Inflasi turun kepada 1.2 peratus, paras terendah dalam tempoh 51 bulan – DOSM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Malaysia mencatatkan kadar inflasi 1.2 peratus pada Mei 2025, paras terendah dalam tempoh 51 bulan dengan mata indeks mencatatkan 134.4 berbanding 132.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Trend inflasi rendah yang direkodkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, adalah selari dengan inflasi bagi negara-negara terpilih yang turut mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan pada bulan lalu seperti Zon Euro (1.9 peratus), Korea Selatan (1.9 peratus), Indonesia (1.6 peratus) dan Filipina (1.3 peratus), selaras dengan penurunan harga minyak dunia.

Sektor perlombongan merupakan penyumbang utama kepada penurunan ini iaitu -17.8 peratus, disebabkan oleh penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8 peratus).

Sementara itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat perlahan 2.1 peratus pada Mei 2025.

Ini didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Mei 2025 berbanding April 2025 yang meningkat 0.5 peratus.

Meskipun begitu, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata 59.7 peratus item (342 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.

Namun begitu, katanya daripada jumlah itu, 330 item (96.5 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala 12 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada bulan lalu.

“Sementara itu, 180 item (31.4 peratus) menunjukkan penurunan dan 51 item kekal tidak berubah, dan sedikit sebanyak mengekang inflasi daripada terus meningkat lebih tinggi,” katanya lapor BH pada Selasa.

Inflasi bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pula meningkat perlahan 1.7 peratus pada Mei 2025 berbanding 2.0 peratus pada April 2025.

Ini didorong oleh subkumpulan sewa sebenar untuk kediaman dan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman dengan masing-masing meningkat perlahan kepada 1.9 peratus dan 0.5 peratus.

Penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan rumah kediaman pula mencatatkan peningkatan lebih tinggi pada 4.9 peratus.

Sementara itu, kumpulan kesihatan meningkat pada kadar lebih tinggi 1.1 peratus pada Mei 2025 berbanding 0.9 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan bagi subkumpulan perkhidmatan penjagaan pesakit luar kepada 2.9 peratus, perkhidmatan penjagaan pesakit dalam hospital (1.7 peratus) serta ubat-ubatan dan produk kesihatan (0.6 peratus).

Selain itu, inflasi pengangkutan kekal meningkat 0.7 peratus bagi tempoh empat bulan berturut-turut.

Seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia, harga bahan api diesel pada Mei 2025 mencatatkan peningkatan perlahan 12.4 peratus.

Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.81 seliter berbanding RM2.15 seliter pada Mei 2024 dan RM2.95 pada April 2025.

Manakala, harga petrol tanpa plumbum RON97 masih kekal pada jajaran negatif -10.4 peratus. Purata harga RON97 pada Mei 2025 ialah RM3.11 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Mei 2024 dan RM3.25 pada April 2025.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat