Dari seorang gadis remaja berusia 15 tahun yang melontarkan suara dengan penuh semangat dalam lagu Dag Dig Dug… Mana Tahan pada tahun 1995, kini Haiza tampil dengan kematangan suara dan personaliti yang jauh lebih mantap dalam versi baharu, Dag Dig Dug 3.0 sebuah karya yang bukan sekadar ulang rakam, tetapi simbol evolusi dirinya sebagai anak seni.
Tiga dekad dalam industri bukan tempoh yang singkat, apatah lagi untuk seseorang yang membesar di depan khalayak, merentasi pelbagai fasa perubahan muzik, gaya dan medium hiburan. Haiza bukan sekadar kekal relevan, malah berkembang melangkaui batas penyanyi – menjadi pengacara, pelakon dan personaliti radio tersohor di Kool 101.
“Lagu ini saya rakamkan semula bukan sekadar nostalgia. Ia adalah refleksi siapa saya sekarang – dari remaja kepada wanita dewasa yang matang dalam pemikiran dan seni,” ujar Haiza yang kini menyambut 30 tahun penglibatannya dalam dunia hiburan tanah air.
Lagu Dag Dig Dug 3.0, dirakamkan semula di Bandung, Indonesia bersama penerbit dan arranger berpengalaman, Diki Suwarjiki, serta proses mixing dan mastering oleh Ari Yujeng, membawa elemen muzik dangdut kontemporari berentak koplo yang lebih moden dan bertenaga tetapi masih mengekalkan identiti asal lagu tersebut.
“Dahulu saya rakam lagu ini dengan semangat dan tenaga remaja. Kini saya rakam semula dengan jiwa dan pengalaman. Itu dua perkara yang sangat berbeza,” kata Haiza.
Langkah merakamkan semula lagu ini bukan datang secara kebetulan. Dorongan daripada peminat, rakan industri dan rasa tanggungjawab terhadap karya yang pernah melonjakkan namanya menjadi pemangkin utama kepada projek istimewa ini.
Lebih daripada sekadar pelancaran lagu, Haiza turut tampil dengan dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza, yang ditayangkan menerusi YouTube Kool 101 bermula 21 Jun. Dokumentari ini menyelami perjalanan jatuh bangun Haiza dalam industri daripada perjuangan awal hingga ke kejayaan hari ini.
Majlis pelancaran ulang tahun ke-30 kerjaya seninya turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Geo Resort & Hotel Genting Highlands sebagai penaja utama dan Kool 101 sebagai rakan media rasmi.
Kini, selepas 30 tahun, Haiza bukan sekadar seorang penyanyi dangdut, tetapi figura yang dikenali ramai kerana versatiliti dan ketekunannya dalam dunia hiburan.
“Saya tak kejar populariti seperti dahulu. Saya kejar legasi. Jika satu hari nanti orang dengar Dag Dig Dug dan tahu ia milik Haiza — itu sudah cukup buat saya.”
Dag Dig Dug 3.0 kini boleh didapati di semua platform digital sejak 20 Jun lalu, manakala muzik videonya pula ditayangkan melalui saluran YouTube Indigital Music.