Shah Alam, 21 Jun 2025 – Dunia sukan memanah tanah air menyaksikan detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Muezza Archery Proshop, sebuah pusat sehenti peralatan memanah moden yang menjadi mercu tanda baharu bagi sukan ini di Malaysia. Terletak di R-01-11, EMIRA, Seksyen 13, Shah Alam, proshop ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pembangunan atlet, malah mencipta sejarah sebagai kedai memanah milik penuh bumiputera pertama yang menawarkan akses langsung kepada jenama antarabangsa terkemuka.
Majlis pelancaran telah berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran tetamu kehormat, rakan strategik, wakil pembekal dari Korea serta para pelanggan dan peminat sukan memanah. Istimewanya, selebriti terkenal tanah air, Diana Danielle, turut diumumkan sebagai wajah rasmi Muezza, memperkukuh jenama ini sebagai peneraju baharu dalam arena memanah moden. Pelbagai promosi menarik seperti hadiah percuma kepada 100 pelanggan pertama, diskaun sehingga 70%, dan cabutan bertuah bernilai RM7,000 tajaan MK Archery turut menjadi tarikan utama hari pelancaran.
Sebagai satu lagi langkah berani dan strategik, Muezza turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MK Archery Korea, membuka ruang kerjasama antarabangsa dalam bidang pembangunan fasiliti, latihan dan pembangunan komuniti. Hubungan ini juga menandakan keyakinan global terhadap kemampuan tempatan dalam membangunkan bakat sukan bertaraf dunia.
Apa yang paling membanggakan, Muezza Archery Proshop kini menjadi antara satu-satunya kedai memanah di Malaysia yang diberi kepercayaan untuk mengedarkan dua jenama antarabangsa utama – MK Archery secara rasmi, dan Wiawis yang sedang dalam rundingan akhir ke arah kerjasama rasmi. Kedua-dua jenama ini digunakan secara meluas di peringkat kejohanan dunia dan temasya Olimpik, menjadikan Muezza destinasi pilihan utama bagi atlet profesional mahupun peminat amatur yang menginginkan peralatan bertaraf dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Muezza Academy, Tuan Anas Izuan, pembukaan proshop ini merupakan pelengkap penting kepada ekosistem latihan yang telah lama dibina oleh syarikat. Dengan 84 cawangan akademi di seluruh negara dan lebih 5,000 pelajar aktif, Muezza kini bergerak ke hadapan dengan misi untuk mencapai 100 cawangan menjelang Ogos 2025. Jelas beliau, proshop ini bukan hanya menjual peralatan, tetapi juga menawarkan servis pembaikan profesional, kelas peribadi, dan fasiliti biomekanik station untuk menganalisis teknik pemanah secara saintifik – menjadikan ia sebagai pusat pembangunan atlet yang menyeluruh.
Diana Danielle, sebagai ikon baharu Muezza, turut menyatakan sokongan terhadap program latihan yang ditawarkan, malah telah mendaftarkan anak beliau dalam kelas bimbingan khas sebagai langkah awal memperkenalkan sukan sunnah ini kepada generasi baharu. Muezza kini menawarkan pakej kelas tahunan bernilai RM5,000 termasuk set peralatan penuh, dan terbuka kepada golongan ibu bapa yang ingin membina fokus serta disiplin anak-anak mereka melalui sukan yang semakin mendapat tempat ini.
Dalam usaha melahirkan atlet berkualiti tinggi, Muezza menubuhkan dua pasukan utama – Elite Team dan Muezza Development Pathway Team (MDPT) – yang dibentuk daripada pelajar akademi peringkat asas. Program latihan dijalankan secara berperingkat tanpa jalan pintas, disokong pula oleh platform kejohanan yang dikenali sebagai “Road to the Moon” bagi memberi pendedahan awal kepada pertandingan sebenar.
Sebagai langkah memperluas capaian di peringkat nasional, Muezza bakal melancarkan platform e-dagang rasmi minggu hadapan, membolehkan pelanggan dari seluruh negara mendapatkan akses kepada produk dan servis secara dalam talian – satu lagi inisiatif penting ke arah pemodenan industri memanah tempatan.
Pelancaran rasmi Muezza Archery Proshop ini bukan sekadar pembukaan sebuah kedai, tetapi merupakan pelancaran satu visi – visi menjadikan sukan memanah sebagai platform pembangunan holistik berpaksikan sains sukan, kerjasama global dan keupayaan anak tempatan. Sebagai kedai bumiputera pertama yang diberi kepercayaan menjual dua jenama antarabangsa berprestij, Muezza kini meletakkan penanda aras baharu dalam landskap sukan memanah moden Malaysia.