Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mencipta nama di pentas sains antarabangsa apabila tiga saintis muda cemerlang terpilih untuk menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun hingga 4 Julai ini.
Ketiga-tiga mereka, calon PhD dalam Sains Gunaan melalui Penyelidikan (Kimia Gunaan) Universiti Teknologi Petronas (UTP), ChM Nur Diyan Mohd Ridzuan,30; Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Ts Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34; dan Pensyarah Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), ChM Dr Mak Kit Kay, 33.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan berkata mesyuarat yang berprestij ini akan memfokuskan kepada bidang kimia dan bakal menghimpunkan sekitar 35 Penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata penyertaan tiga saintis muda ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau sebagai satu peluang transformatif untuk para saintis muda Malaysia dan bukti keupayaan bakat tempatan bersaing di pentas antarabangsa.
“Selaras dengan komitmen kementerian dalam membina generasi saintis masa depan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat STEM.
“Kami percaya bahawa interaksi
dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon para
penyelidik muda negara, dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi.”katanya.
Dalam pada itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Academician, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc berkata usaha berterusan menghantar saintis muda Malaysia ke mesyuarat itu setiap tahun adalah bukti komitmen ASM dalam melahirkan bakat saintifik bertaraf dunia.
Katanya, saintis muda Malaysia berpeluang memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran mereka dalam mesyuarat ini, dapat membuka peluang kerjasama bersama saintis di fasiliti bertaraf dunia.
“Kebanyakan saintis-saintis ternama dunia pernah menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau pada peringkat awal kerjaya mereka, termasuk Jaringan Pakar ASM, ”katanya lagi.
Tambah kenyataan itu, program berdurasi seminggu ini memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dengan Penerima Hadiah Nobel dalam pelbagai persekitaran rasmi dan tidak rasmi.
Format program ini antaranya, syarahan oleh Penerima Anugerah Nobel yang membentangkan penyelidikan perintis mereka, Perbincangan Agora untuk dialog interaktif, serta perbincangan panel yang menyentuh isu-isu global yang mendesak.
Acara ini turut menyediakan pelbagai peluang menjalinkan rangkaian, membolehkan saintis muda berkongsi penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia.
“Sejak 2004, ASM sebagai badan pencalon rasmi, telah mengenal pasti dan mencalonkan saintis yang berpotensi setiap tahun untuk dinilai oleh Panel Semakan Saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau.
“Mesyuarat ini diasaskan pada 1951, telah menggalakkan dialog antara generasi, disiplin sains dan budaya selama lebih 70 tahun yang memberi fokus kepada sesuatu disiplin secara bergilir-gilir.
“Selain itu, sebagai platform unik bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai, ”tambahnya lagi.
Untuk rekod, seramai 89 saintis Malaysia telah menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau sehingga hari ini.
Terdahulu, Saintis Malaysia Dr Ravigadevi Sambanthamurthi FASc, mencatat sejarah dan mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai Felo di Akademi Sains Kebangsaan United Kingdom, Royal Society, iaitu akademi sains tertua dan paling berprestij di dunia.
Dr Ravigadevi akan dilantik secara rasmi sebagai Felo di London pada 11 Julai ini, dan akan menandatangani Charter Book Royal Society, sebuah rekod bersejarah yang mengandungi tandatangan tokoh-tokoh saintifik terkemuka sepanjang lebih tiga abad.-SUARA.TV