SPRM bongkar NGO seleweng RM26 juta sumbangan orang ramai, hampir sama modus operandi Aman Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyelewengan dana kira-kira RM26 juta milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai.

Berdasarkan maklumat sumber, kegiatan menyeleweng dana itu terbongkar susulan tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor.

Sumber berkata, serbuan dibuat di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Khamis lalu, lapor BH pada Isnin.

“Lima suspek terbabit kini direman tujuh hari iaitu empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis ini.

“Modus operandi untuk menyeleweng dana ini hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah dan rumah termasuk membeli mata wang kripto.

“Mereka juga dipercayai memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit, selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Katanya, kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak 2015 hingga sekarang.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi akhbar berkenaan, mengesahkan penangkapan itu.

Beliau berkata, SPRM sudah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu wang tunai lebih RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, akaun kripto bernilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta dalam operasi berkenaan.

“SPRM juga sudah membekukan 14 akaun perbankan membabitkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat