CYBERJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh, menyuarakan kebimbangan serius terhadap keputusan PETRONAS untuk mengurangkan sebanyak 10 peratus daripada tenaga kerjanya, melibatkan lebih 5,000 pekerja, berikutan kemerosotan keuntungan syarikat itu sebanyak 32 peratus bagi tahun 2024.
Menurut beliau, tindakan drastik itu bukan sekadar isu pengurusan sumber manusia biasa, tetapi mencerminkan kegoyahan sebuah institusi penting negara yang telah lama menjadi tunjang ekonomi Malaysia.
“PETRONAS bukan syarikat biasa. Ia lambang kejayaan industri minyak dan gas negara, malah menjadi penyelamat fiskal negara dalam banyak keadaan. Jika syarikat ini mula bergoncang, maka gegarannya akan dirasai seluruh negara,” tegas Dr Akmal dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran dilakukan ketika purata harga minyak global masih stabil, sekitar USD65 setong pada 2025, berbanding tindakan lebih terkawal sewaktu kejatuhan harga minyak ke paras USD44 pada 2016.
“Pada 2016, PETRONAS hanya kurangkan kira-kira 1,000 pekerja. Kenapa kali ini sampai 5,000 orang diberhentikan? Malah, ketika tahun 2020 dengan harga minyak sekitar USD40, langkah sebegini tidak pula diambil,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, beliau turut mempersoalkan prestasi pengurusan PETRONAS serta hala tuju pelaburan syarikat, memandangkan keuntungan terus merosot walaupun faktor pasaran dilihat lebih stabil.
“Apakah benar-benar harga minyak menjadi punca utama, atau ada faktor lain yang tidak didedahkan kepada rakyat?” soal beliau.
Selain itu, Dr Akmal turut menyentuh soal tukaran mata wang asing yang kini mencecah RM4.75 berbanding USD, jauh lebih tinggi daripada paras RM3.80 yang sebelum ini dianggap petanda kelemahan ekonomi.
Beliau mendesak kerajaan mengambil beberapa langkah segera termasuk:
-
Campur tangan untuk memastikan kebajikan pekerja terbabit terbela;
-
Mengadakan audit menyeluruh terhadap PETRONAS dan membentangkan laporan secara telus kepada rakyat;
-
Pelaksanaan pelan mitigasi oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia;
-
Sesi libat urus antara pihak kerajaan, PETRONAS dan kesatuan pekerja.
“Kerajaan tidak boleh berlepas tangan. PETRONAS adalah milik rakyat. Keputusan yang melibatkan ribuan keluarga perlu disusuli dengan kebertanggungjawaban dan keprihatinan tinggi,” katanya.
Dr Akmal menegaskan bahawa mereka yang terjejas bukan sekadar angka, tetapi merupakan pencari nafkah utama dalam keluarga yang masa depannya harus dibela.