KUALA LUMPUR – Pertubuhan pengusaha dobi menggesa kerajaan turut membenarkan mereka menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, selepas kebenaran sama diberikan kepada peniaga kecil dan sederhana makanan serta minuman.
Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA) berkata, pihaknya bimbang dan kecewa selepas sektor dobi tidak diambil kira dalam pertimbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 2021.
Katanya, sektor dobi khususnya dobi layan diri dan dobi tradisional yang menggunakan mesin pengering amat bergantung kepada LPG dalam operasi harian.
“Penggunaan LPG komersial akan memberi tekanan kewangan yang besar kepada pengusaha dobi yang rata-ratanya hanya memberi perkhidmatan terhadap pengguna domestik dan bukan komersial.
“Lebih-lebih lagi yang sebahagiannya masih dalam fasa pemulihan pasca pandemik dan menghadapi peningkatan kos operasi yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut persatuan itu, sektor dobi juga berada pada kategori peniaga kecil dan sederhana (PKS), selaras dengan garis panduan SME Corporation dan definisi PKS yang diluluskan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK).
Persatuan itu turut mencadangkan agar satu sesi libat urus diadakan antara KPDN dan wakil industri untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai realiti yang dihadapi oleh para pengusaha.
“Kami percaya dasar yang inklusif akan memberi manfaat yang menyeluruh dan adil kepada semua pihak dalam kalangan peniaga mikro dan kecil di Malaysia,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman dibenarkan terus menggunakan tong gas LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 2021 dimuktamadkan Oktober ini.
Beliau berkata, dalam tempoh peralihan itu, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga berkenaan.
Tong LPG komersial 14kg berharga hampir RM70, hampir tiga kali ganda berbanding harga tong LPG bersubsidi.
Ketika ini, mana-mana perniagaan yang menggunakan lebih 42kg LPG pada satu-satu masa perlu memohon permit barang kawalan berjadual.