“Rafizi Timbalan Presiden, saya yakin dia akan hadir kongres” – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis menjangkakan Timbalan Presiden Datuk Seri Rafizi Ramli akan menghadiri kongres tahunan parti itu yang dirasmikan malam ini, walaupun spekulasi mengatakan beliau tidak muncul ketika ketegangan parti semakin memuncak.

“Saya rasa dia akan datang. Dia tidak memaklumkan saya secara peribadi (tentang tidak datang), tetapi (sebagai) Timbalan Presiden, saya rasa dia akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mengundi pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Johor Bahru pada Jumaat.

Anwar menegaskan Rafizi hadir pada mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan membentangkan ideanya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan isu meluluskan calon untuk jawatan parti, yang telah mencetuskan perdebatan selepas Rafizi mencadangkan untuk mengetatkan peraturan.

Anwar berkata beliau memilih untuk tidak menolak mana-mana permohonan yang diproses dan dikemukakan oleh ibu pejabat parti, kerana ia boleh ‘menjadi isu’.

“Saya beritahu majlis pimpinan, jika mereka bawa kepada saya, saya tidak mahu menapisnya kerana itu akan menjadi masalah,” katanya.

“Jadi, bagi semua yang mengemukakan permohonan mengikut peraturan parti dan telah diproses oleh ibu pejabat, saya meluluskan semuanya,” lapor FMT.

Rafizi mencadangkan hanya ahli yang telah bersama parti selama sekurang-kurangnya lima tahun dibenarkan bertanding, dengan alasan ia akan mengukuhkan disiplin dan memastikan kesetiaan dalam barisan PKR.

Rafizi berkata sistem semasa membenarkan orang baru untuk terus menjawat jawatan kepimpinan, kadangkala dengan kelulusan presiden parti, sedangkan mereka sepatutnya ‘bermula dari bawah’.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan, bekas bendahari agung MIC, menyertai PKR pada 2020 selepas keluar daripada parti berasaskan India itu enam tahun sebelumnya. Ramanan bersaing untuk jawatan naib presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Sementara itu, Anwar menegaskan lebih baik melihat seseorang calon yang terbaik untuk dipilih berbanding berpandukan senarai nama sokongan atau ‘cai’.

“Tengok mana yang terbaik, kita undi. Itu yang sebaiknya,” katanya.

Beliau diiringi isteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Ditanya mengenai pilihan kempen sama ada Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) atau Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif (DAMAI), Anwar berkata beliau memilih kedua-duanya.

“HIRUK dan DAMAI. Kalau setengah ada ‘cai’ sana, setengah ada ‘cai’ sini, saya tak. Saya harap dalam buat keputusan, dua-dua itu diambil kira, yang dirasakan yang terbaik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat