Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur (UTMKL), dan Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) telah menganjurkan program Bicara Diplomasi Budaya (Cultural Diplomacy Talk) 2025 di Dewan Azman Hashim, Menara Razak UTMKL, dekat sini pada Selasa.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata program ini sebagai pemangkin kepada usaha kerajaan melalui MOTAC bagi mengekalkan hubungan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun terutamanya menerusi bidang sosial dan kebudayaan.
Beliau berkata program ini juga memberi pendedahan dan pengetahuan kepada generasi muda berkaitan jalinan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara melalui diplomasi budaya, persefahaman bersama, kepercayaan, dan persahabatan berteraskan semangat Dasar Pandang ke Timur.
“Selama berdekad Malaysia dan Jepun giat mempromosikan pelbagai inisiatif termasuk pendidikan bahasa Jepun, program kebudayaan tradisional dan kontemporari, pertukaran belia dan akademik serta kerjasama penyelidikan bersama”katanya dalam kenyataan.
“Usaha-usaha ini telah memperkukuh hubungan antara negara dan meningkatkan nilai keterlihatan kedua-dua negara di peringkat global.
“Berpaksikan sejarah dan usaha berterusan ini Malaysia dan Jepun akan terus membentuk masa depan yang lebih terhubung, inklusif, dan kaya dengan budaya.
“Terima kasih kepada pihak MJIIT, UTM Kuala Lumpur dan JFKL atas kesudian bersama-sama dengan JKKN dalam menjayakan program keilmuan ini,”katanya lagi.
“Program ini diadakan bertujuan sebagai platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam aspek seni, budaya dan warisan kepada masyarakat luar.
“Selain itu, memberi pendedahan kepada peserta untuk lebih memahami konsep diplomasi budaya dalam mempromosikan seni, budaya dan warisan Malaysia ke peringkat antarabangsa serta untuk menonjolkan keunikan budaya dan kesenian Malaysia, seterusnya membina potensi jaringan kerjasama dengan pelbagai negara, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, program ini mengetengahkan topik ‘Malaysia and Japan – Exploring Cultural Diplomacy and Diversity’ yang menampilkan tiga orang panel jemputan yang hebat.
Antaranya, Second Secretary, Embassy of Japan in Malaysia, Matsuo Keigo dengan tajuk ‘Cultural Diplomacy
in Action: Japan – Malaysia Relations & The Spirit of the Look East Policy’ dan Director of The JFKL, Tsukamoto Norihisa, dengan tajuk “Overview of the Japan Foundation’s Activities in Malaysia’
Selain itu, Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurul Akmar Abu Husain berkongsi mengenai ‘Integrating Japanese-Style Engineering Education with Malaysian Cultural Distinctiveness: The MJIIT Experience at Universiti Teknologi Malaysia’.
Moderator program ini ialah Ketua Pusat Bahasa dan Budaya Jepun di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTM, Hasparina Abdul Ghafar.
Turut hadir, MJIIT Deputy Dean (Liaison & Internationalization) UTM, Prof Dr Kanao Fukuda; dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan JKKN, Mohd Radzi Mohd Omar
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
Selain itu, boleh menyaksikan siaran langsung program ini melalui Facebook Live JKKN TV.-SUARA.TV