Fungsi Petronas diteruskan dan peranan Petros diiktiraf – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akhirnya mencapai deklarasi bersama bagi kelangsungan industri minyak dan gas di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak akhirnya dapat memeterai satu persefahaman yang baik ke arah memajukan Malaysia dan Sarawak melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Memetik Utusan di Putrajaya Anwar berkata, persefahaman mengenai perkara ini telah lama disepakati setelah berunding dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

“Kami (saya dan Abang Johari) telah mendapat paramater jelas mengenai Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengedaran Gas (DGO).

“Keadaan terkini menunjukkan kita (kerajaan) menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang juga mempunyai potensi besar,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Telekomunikasi dan Uiliti Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa peranan Petronas tidak akan tergugat dan masih meneruskan peranannya seperti biasa.

Namun, katanya, peranan itu akan disesuaikan selepas mengambil kira perkembangan baharu dan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak dan peranan yang dimainkan oleh Petros.

Anwar berkata, persefahaman yang dicapai ini penting bagi memastikan peranan Petronas diteruskan dan peranan Petros di Sarawak diiktiraf.

Menurutnya, kedua-dua entiti itu juga akan berganding bahu bagi terus mengangkat martabat negara dalam industri minyak dan gas dan hiliran dan beberapa aktiviti dalam sektor negara.

Jelasnya lagi, beliau berharap persefahaman ini akan meletakkan kedudukan Sarawak sebagai hab permulaan bagi industri minyak dan gas di peringkat ASEAN.

Sementara itu, Abang Johari berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil maklum perkembangan industri minyak dan gas dimana Petronas dan Petros memainkan peranannya.

“Alhamdulilah kita dapat menyelesaikan masalah yang timbul dan hari ini ada pengiktirafan yang akan di bawa bersama dalam mengusahakan aktiviti minyak dan gas demi kepentingan negara dan mengikut lunas undang-undang Sarawak dan Persekutuan.

“Kita akan menghormati jadual undang undang negeri dan Malaysia dan akan terus meningkatkan kerjasama demi kepentingan negara dan Sarawak,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat