KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini dari Lautan Hindi, merentasi Selat Melaka, hingga ke Laut China Selatan.
Anwar menyatakan komitmen bahawa rantau ini kekal sebagai laluan perdagangan strategik dan mesti terus dipelihara daripada sebarang ancaman.
“Malam ini (tadi) saya berpeluang bersama-sama menyantuni para petugas, rakan strategik, serta semua yang telah menyumbang tenaga dan komitmen dalam menjayakan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
“Salut saya kepada pasukan Kementerian Pertahanan dan semua agensi yang terlibat atas kejayaan penganjuran edisi kali ini, yang bukan sahaja mengatasi pencapaian edisi-edisi terdahulu, malah menjadi penanda aras baharu bagi LIMA sebagai platform pertahanan dan teknologi global.
“Dalam ucapan, saya tegaskan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini – dari Lautan Hindi, merentasi Selat Melaka, hingga ke Laut China Selatan. Rantau ini kekal sebagai laluan perdagangan strategik dan mesti terus dipelihara daripada sebarang ancaman,” tegas Anwar dalam ucapan di Langkawi malam tadi.
Menurut Menteri Kewangan itu lagi, penyertaan aktif negara-negara jiran dan rakan strategik seperti China, India, Korea Selatan, negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat serta Eropah pada LIMA’25 adalah bukti sokongan dan keyakinan global terhadap peranan Malaysia dalam menjamin keselamatan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang bermakna.
“Tema “Innovate Today, Thrive Tomorrow” amat bertepatan dengan keperluan semasa. Ia menzahirkan kepentingan inovasi teknologi termasuk dalam bidang pertahanan pintar, kecerdasan buatan (AI), dan industri aeroangkasa yang menjadi pemacu utama ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan.
“Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa, serta kekal komited mendukung keamanan global. Ini termasuk penyertaan aktif dalam misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperluas latihan ketenteraan bersama, dan menyokong agenda global berkaitan wanita, kesejahteraan dan keselamatan.
“LIMA’25 bukan sahaja mencerminkan kekuatan pertahanan negara, tetapi juga iltizam kita untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menjamin keamanan dan kemakmuran serantau serta dunia sejagat,” jelas Anwar.