Umum kutipan hasil balak berbilion, ke mana pergi semua kekayaan Sabah? – Suhaimi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Kalau hasil negeri Sabah berbilion, kenapa masalah air, elektrik dan jalan raya masih belum selesai?

“Soalan ini bukan untuk menuding jari, tapi untuk menuntut kebertanggungjawaban, hal ini kerana rakyat Sabah berhak menerima lebih baik,” tegas Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir.

Dalam kenyataan media yang bertajuk “Kaya berbilion, namun air tiada, elektrik on-off, jalan raya masih berlubang sana sini” Suhaimi berkata demikian sebagai Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat di Libaran.

“Saya terpanggil untuk mengangkat persoalan yang kian menghantui rakyat Sabah saban hari. Kita dihidangkan dengan laporan yang menyebut Sabah mencatat kutipan hasil balak sebanyak RM5.3 bilion sejak tahun 1999, dengan purata RM213 juta setahun realitinya, kehidupan rakyat masih dihimpit dengan masalah asas yang tidak kunjung selesai.

“Soalan paling mudah yang ditanya rakyat, dari Libaran hingga ke Likas, dari Tawau ke Tuaran. Ke mana perginya semua kekayaan negeri Sabah?

“Hari ini, bukan sahaja penduduk di kawasan pedalaman yang berhadapan dengan masalah air dan elektrik malah di tengah-tengah ibu negeri sendiri, Kota Kinabalu, gangguan bekalan air dan elektrik sudah menjadi kebiasaan. Tangki simpanan air bukan lagi kemudahan tambahan, tetapi satu keperluan wajib. Generator elektrik bukan lagi untuk kilang, tapi untuk rumah biasa.

“Begitu juga dengan jalan raya. Masih banyak yang berlubang, rosak, dan membahayakan pengguna,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Sabah memberitahu, dalam daerah Libaran sendiri, banyak kawasan luar bandar yang masih menanti sentuhan pembangunan asas yang sepatutnya menjadi tanggungjawab utama kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri saban hari mengumumkan pelbagai kejayaan daripada pensijilan hutan, pelan karbon, hingga kepada peruntukan ekologi namun rakyat masih dihantui masalah air, menyalakan lilin, dan mengelak lubang di jalan raya.

“Adakah ini wajah sebenar kemajuan yang dibanggakan? Saya percaya rakyat Sabah sudah cukup lama bersabar,” ujar Suhaimi.

Tegas beliau lagi, rakyat Sabah bukan menolak pembangunan, mereka hanya meminta hak mereka dikembalikan hak untuk hidup selesa, berbekalkan kemudahan asas yang stabil dan berterusan.

“Sebagai wakil rakyat, saya ingin tegaskan bahawa suara rakyat ini tidak wajar dipandang sinis atau dianggap sebagai “skeptikal”.

“Mereka berhak bertanya, mereka berhak tahu. Maka, saya ulang persoalan yang lahir dari hati rakyat,” kata Suhaimi lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat