MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh tampil membalas kritikan Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda, yang menyifatkan dirinya angkuh kerana menolak cadangan agihan kerusi 14-14 dalam kerajaan campuran negeri Melaka.
Dalam satu hantaran tegas di Facebook, Dr. Akmal mempertahankan pendiriannya, dengan menyindir pihak yang menuntut kerusi milik UMNO atas nama perpaduan.
“Bila nak pertahankan kerusi sendiri yang menang dikatakan angkuh. Tetapi bila nak ambil kerusi orang lain, semangat perpaduan katanya. Logik apa kamu pakai ni??” katanya.
Beliau turut menyindir cadangan pengagihan kerusi secara sama rata sebagai tidak realistik dan tidak berprinsip, apatah lagi apabila parti tertentu tidak memenangi kerusi berkenaan.
“Lawan jer lah, pondan jer yang nak ambil kerusi percuma ni..” tambahnya dalam nada sinis.
Terdahulu, Fadhli Umar menyelar kenyataan Dr. Akmal yang menolak cadangan pembahagian kerusi secara sama rata antara UMNO dan Pakatan Harapan di Melaka, dengan mendakwa kenyataan itu angkuh dan tidak mencerminkan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Isu pembahagian kerusi ini timbul menjelang spekulasi pembubaran DUN Melaka dan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.