SERI MENANTI, 10 Mei – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa potensi anak-anak yatim dan yatim piatu dengan menganjurkan Kem Semarak Harapan Anak Bangsa bermula 9 hingga 12 Mei di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti.
Seramai 40 anak-anak di bawah jagaan YKM dihimpunkan dalam program empat hari itu yang memfokuskan kepada pembangunan menyeluruh aspek fizikal, mental, emosi dan sosial – terutamanya bagi mereka yang berdepan kehilangan insan tersayang akibat pandemik COVID-19.
Menurut Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kem ini merupakan inisiatif julung kali sebagai sebahagian usaha berterusan yayasan itu dalam melahirkan generasi cemerlang yang kalis cabaran masa depan.
“Keunikan kem ini terletak pada modulnya yang menggunakan aktiviti berkuda dan memanah sebagai alat pembelajaran, terapi serta pembangunan kendiri,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan seperti ini mampu memupuk semangat kebersamaan dan kesyukuran dalam kalangan peserta — selari dengan semangat Keluarga Malaysia.
Program yang dikendalikan bersama Ladang Alam Warisan ini dibahagikan kepada lima fasa pembangunan utama iaitu jati diri, kepemimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis, dan keusahawanan.
Ismail Sabri juga sempat turun padang meluangkan masa bersama peserta ketika sesi ‘ice breaking’, bertujuan mengenali lebih dekat latar belakang setiap anak-anak YKM yang menyertai program ini.
Tambah beliau, pendidikan adalah aset penting untuk mengubah kehidupan, justeru anak-anak ini diseru agar terus menimba ilmu sehingga ke menara gading.-Suara.TV