KUALA LUMPUR – Ujian makmal mengesahkan air Sungai Bidor tercemar akibat pelepasan sisa dari ladang babi tersebut.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan, pasukan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil dua sampel air dari Sungai Bidor untuk diuji secara bebas oleh makmal swasta bertauliah.
Kata beliau, ujian yang telah dilakukan adalah Keperluan Oksigen Kimiahayat (BOD) dan Keperluan Oksigen Kimia (COD).
“Berikut merupakan keputusan daripada makmal swasta untuk sampel dari Sungai Bidor – Sampel B1 (sebelum lokasi pencemaran) menunjukkan air jernih dan bacaan BOD adalah dibawah 3 mg/L dan COD dibawah 12 mg/L, menandakan air bersih dan berada pada tahap yang dibenarkan.
“Manakala Sampel B2 (selepas lokasi pencemaran) menunjukkan air jernih dan bacaan BOD adalah 78 mg/L dan COD menunjukkan peningkatan ketara ke angka 358mg/L yang membawa maksud sampel ini tercemar akibat pelepasan sisa dari ladang babi tersebut.
“Nah, apa lagi yang kerajaan Perak dan Timbalan Perdana Menteri mahu nafikan? Isu ini menjangkaui kepentingan PRK Ayer Kuning,” tempelak Fadhli.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengingatkan Pilihan Raya Kecil (DUN) Ayer Kuning esok sekali gus menentukan Adun yang akan menjaga kesejahteraan rakyat.
“PRK esok hanya akan menentukan siapakah Adun baru untuk Ayer Kuning, tetapi bagaimana dengan kesejahteraan rakyat?
“Bagaimana dengan ancaman terhadap kesihatan rakyat?
“Tolonglah bertindak! Jika ujian ini dinafikan, maka nah, buktikan sebaliknya. Buktikan ujian ini tidak benar! Silakan. Jika tidak, anda hanya memperjudikan nasib rakyat semata-mata. UMDAP mantap,” katanya.