Chegubard berjaya batal arahan larangan bersuara ‘gag order’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan rayuan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bagi membatalkan perintah larangan bersuara (gag order) yang menghalang beliau daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berkaitan kes hasutan dihadapinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Zaidi Ibrahim, Noorin Badaruddin dan Fairuz Zainol Abidin memutuskan demikian selepas mendapati rayuan itu mempunyai merit.

Zaidi dalam keputusan sebulat suara berkata perayu memfailkan dua rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang membenarkan permohonan semakan untuk perintah larangan bersuara dikeluarkan kepada perayu.

“Pada prosiding hari ini, peguam perayu juga berhujah kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi itu telah terkhilaf dalam memerintahkan ‘gag order’ ke atas perayu. Peguam juga merujuk kes blogger Wan Azri Wan Deris yang telah diputuskan Mahkamah Rayuan yang mana mahkamah itu telah membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan ‘gag order’ diperintahkan Mahkamah Tinggi ke atas Wan Azri.

“Memandangkan fakta dalam kedua-dua kes sama, maka mahkamah ini terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini dalam kes Wan Azri. Mahkamah juga mendapati responden (pendakwa raya) gagal menunjukkan bahawa adanya risiko untuk mendapatkan perbicaraan adil. Oleh itu rayuan perayu dibenarkan,” lapor Bernama di Putrajaya pada Khamis.

Perintah larangan bersuara dikeluarkan terhadap Badrul Hisham oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Mei 2024 manakala Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 20 Mei tahun sama.

Badrul Hisham, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada 12.15 tengah hari, 6 April tahun lepas mengikut Akta Hasutan 1948.

Dia juga didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong, di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara pada 6 petang 22 Jan tahun sama, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Badrul Hisham turut didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mengeluarkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City menerusi Facebook miliknya, ‘Che GuBard’ di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lepas, mengikut Akta Hasutan 1948.

Terdahulu peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisyam berhujah agar mahkamah membenarkan rayuan anak guamnya atas alasan tiada permohonan rasmi difailkan pihak pendakwaan bagi memohon perintah larangan bersuara dan hanya mengemukakan permohonan melalui surat.

“Tidak ada sebarang permohonan dan afidavit difailkan pendakwaan untuk menyokong perintah ‘gag order’. Kedua-dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur dan Johor Bahru juga memutuskan perintah ‘gag order’ adalah tidak perlu sebelum pendakwaan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi,” kata peguam itu yang turut merujuk keputusan kes membabitkan Wan Azri berhubung ‘gag order’.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee yang mengakui tiada permohonan rasmi difailkan pihak pendakwaan berhujah bahawa permohonan berhubung perintah larangan bersuara mempunyai kaitan dengan pertuduhan dihadapi perayu membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

“Perintah larangan bersuara adalah untuk melindungi atau menghalang apa-apa komen yang akan mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan persepsi atau prasangka buruk terhadap institusi tertinggi negara ini. Perintah larangan bersuara tidak akan mencabuli hak perayu untuk bersuara, namun ia adalah untuk menghalang perayu daripada mengeluarkan komen berkaitan pertuduhan dihadapinya,” kata Siew Wee.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat