KUALA LUMPUR – Lima warga tempatan termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim penipuan pelaburan MBI International Group (MBI), dengan polis merampas serta membekukan aset bernilai RM3.5 bilion.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata tangkapan dibuat menerusi Op Northern Star atara 18 hingga 21 April di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.
“Kesemua mereka kini direman selama lima hingga enam hari bagi membantu siasatan.
“Tindakan pembekuan dan penyitaan sudah dilaksanakan terhadap harta-harta dan aset-aset, termasuk dusun durian dianggarkan bernilai lebih RM223 juta di tiga lokasi iaitu di Raub, Pahang berkeluasan 850 ekar; Jawi, Pulau Pinang berkeluasan 13 ekar; dan Tasek, Kedah berkeluasan 34 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan tangkapan dan rampasan Op Northern Star petang Selasa lapor Astro Awani.
Mengulas lanjut, beliau berkata, turut dirampas dan disita ialah 299 akaun bank bernilai lebih RM123 juta, 12 kenderaan mewah, jam tangan mewah, wang tunai dan pelbagai dokumen penting.
“Jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dianggarkan adalah sebanyak lebih RM3.5 bilion.
“Selain itu kita turut melaksanakan tindakan penyitaan ke atas tiga buah perniagaan di bawah Seksyen 52 (Akta 613).
“Perniagaan yang disita termasuk sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel dan sebuah syarikat pemaju masing-masing di Pulau Pinang,” katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan dan membuat tangkapan ke atas mana-mana individu yang dipercayai membabitkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan perolehan haram kegiatan aktiviti penipuan pelaburan terbabit.
Katanya, polis juga meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aset dan hasil perolehan haram atas kes penipuan pelaburan MBI.
“Saya nak ingatkan semua (orang ramai) jangan sesekali terlibat dengan aktiviti sebegini dan selalu waspada.
“Saya menyeru sekali lagi tolong salurkan maklumat pada pihak polis sekiranya mengetahui mengenai jenayah pengubahan wang haram,” katanya.