PEKAN – Seramai 1,725 bakal jemaah haji dari negeri Pahang menerima sumbangan wang saku sebanyak RM750 seorang menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kluster agama bagi musim haji tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah tersebut merupakan peningkatan berbanding tahun 2023, yang ketika itu menyaksikan sumbangan sebanyak RM500 bagi setiap jemaah.
“Menerusi program IM Pahang kluster agama, antara inisiatif yang kita beri perhatian ialah program Barakah Haji Pahang, dan kali ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.66 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan penyampaian sumbangan IM Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al Haj, di sini hari ini.
Selain sumbangan wang tunai, kerajaan negeri turut menyediakan pek makanan khas dikenali sebagai ‘Juadah Makmur’, iaitu makanan dalam bentuk pek retort yang tahan lama, mudah dibawa, dan sesuai dijadikan bekalan sepanjang ibadah haji.

Dalam majlis sama, Wan Rosdy turut melancarkan buku “Himpunan Doa Arafah”, terbitan kerajaan negeri, yang diberikan secara percuma kepada semua jemaah sebagai panduan ibadah semasa berada di Tanah Suci.
Kesemua 1,725 jemaah haji dari Pahang, yang berusia antara 16 hingga 83 tahun, dijangka akan menyertai kira-kira 31,600 jemaah Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci pada musim haji tahun ini.