Jika sengaja Sin Chew sangat bodoh, jahat, sangat berani – A Kadir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Tokoh Wartawan Negara ke-9 Datuk A. Kadir Jasin menegaskan jika penerbitan muka hadapan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dilakukan secara sengaja, maka beliau menganggap akhbar tersebut sebagai sama ada sangat bodoh, jahat atau sangat berani.

Jika sebaliknya pula,A Kadir menganggap akhbar itu sama ada bodoh kerana tidak kenal bendera negara atau mereka buat kerja sambil lewa dan sistem penyuntingan serta kawalan dalaman mereka sangat lemah hingga menyebabkan kesilapan seperti itu berlaku.

“Kalau penyiaran grafik itu disengajakan saya anggap mereka ini sama ada sangat bodoh, sangat jahat, atau sangat berani.

“Tapi, kalau tidak disengajakan mereka ini sama ada bodoh kerana tidak kenal bendera negara sendiri atau mereka buat kerja sambil lewa dan sistem penyuntingan serta kawalan dalaman mereka sangat lemah iaitu mereka tidak profesional,” memetik laporan The Merdeka Times semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi terkait Sin Chew Daily yang memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang diterbit di muka hadapan akhbar tersebut semalam.

Sin Chew dalam satu kenyataan kemudiannya memohon maaf atas kesilapan itu dengan menjelaskan bahawa ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Kesilapan itu mengundang kritikan netizen, termasuk Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang mempersoal kesetiaan pihak editor akhbar itu kepada negara serta pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong yang dilapor menegaskan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak memadai bagi kesalahan yang disifatkan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku itu.

Mengulas lanjut, A Kadir berkata beliau tidak dapat menerima alasan kesilapan teknikal kerana penyiaran sesuatu berita oleh akhbar melalui banyak lapis tapisan.

Sebaliknya, tokoh wartawan itu berpandangan bahawa apa yang berlaku adalah kerana pihak akhbar tersebut tidak teliti.

“Jadi sebagai sebuah organisasi media yang besar dan lama, ini sangat-sangatlah mengecewakan.

“Tapi, oleh kerana mereka sudah minta maaf, mereka sudah mengakui kesilapan mereka dan mereka memohon maaf secara terbuka, daripada sudut etika kewartawanan, mereka sudah melakukan apa yang perlu, iaitu mereka mengakui kesilapan, memohon maaf dan menyiarkan seluas-luasnya permohonan maaf mereka itu.

“From the journalistic point of view, they had fulfilled their professional obligation (Dari sudut pandang kewartawanan, mereka telah melaksanakan tanggungjawab profesional mereka),” katanya yang bagaimanapun enggan mengulas berkenaan tindakan lanjut yang perlu dikenakan terhadap Sin Chew.

Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya pihak media tidak terlalu bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), photoshop dan sebagainya serta berhati-hati dengan penggunaannya dalam menghasilkan berita, gambar dan grafik.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat