KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita melihat negara semakin hanyut apabila isu berkaitan agama dan kaum dipilih untuk dieksploitasi sehingga berpotensi mencetus letupan besar.
Titah baginda, perkara mengenai agama dan kaum semakin disensasikan dan ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetus kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga.
Memberi contoh isu pemindahan rumah ibadat di ibu negara, baginda bertitah masih terdengar pahat berbunyi, meskipun kekusutan berlarutan lebih 10 tahun itu berjaya dirungkai melalui persefahaman dicapai secara rundingan antara pihak terbabit.
Sebaliknya, baginda membangkitkan sikap pemimpin dua institusi agama iaitu Masjid Al-Falah Subang Jaya dan Kuil Sri Maha Kaliamman Jalan Putra Harmoni semasa peristiwa kebakaran saluran paip gas di Putera Heights untuk dijadikan teladan semua.
“Pemimpin dua rumah ibadat ini membuka pintu masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan, malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat dalam premis kuil.
“Sifat terpuji pemimpin kedua-dua rumah ibadat ini memberi harapan dan mengubati kebimbangan kita terhadap hubungan kaum di negara ini.
“Hakikatnya, rakyat biasa tanpa diracuni dakyah politik memecah belah, boleh hidup secara aman dan secara harmoni,” titah baginda sambil mendoakan negara dijauhi daripada dimusnahkan perbuatan pelampau agama dan pelampau kaum.
Sultan Nazrin ketika bertitah sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15, turut dukacita dengan amalan politik kebencian yang masih dijadikan pilihan, yang dibimbangi menyebabkan negara menghadapi warga yang tidak lagi bersatu, malah membenci dan memusuhi satu sama lain, lapor BH di Ipoh pada Selasa.
Titah baginda, negara semakin disemai benih kebencian secara keterlaluan hingga terhakisnya kompas moral dan gugurnya empati apabila berurusan dengan pihak yang tidak sekata.
“Kelihatan semakin subur budaya fitnah, semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik, dan semakin luntur nilai keinsanan dan kemanusiaan. Kebenaran bagaikan tiada lagi mempunyai nilai dan harga,” titah baginda.
Tambah baginda lagi, keamanan bukan sesuatu yang mudah dicapai dan ia hasil perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu yang berusaha mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara.
Justeru, rakyat perlu menghargai dan mengamalkan nilai perpaduan, saling menghormati dan hidup dalam suasana bertoleransi dengan keinsafan, kestabilan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama seluruh rakyat.
“Setiap individu ada tanggungjawab bersama dan setiap individu harus peka untuk menyelesaikan masalah secara bijak, tanpa kekerasan, tanpa persengketaan dalam semangat yang menghargai perdamaian,” titah baginda.