Sultan Nazrin Tegur Penguatkuasaan Longgar, Kilang Haram E-Waste Terus Beroperasi

- Advertisement -

CYBERJAYA – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa dalam menangani kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram, susulan rampasan besar-besaran bernilai RM1.3 bilion di Sungai Siput baru-baru ini.

Ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, baginda merujuk kepada serbuan terhadap sebuah kilang e-waste yang beroperasi secara haram di kawasan terbuka, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang tahap pemantauan agensi terlibat.

“Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka,” titah baginda, seperti dilaporkan Sinar Harian.

Kilang terbabit, yang beroperasi lebih lapan bulan di atas tapak seluas 4.8 hektar di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput, diserbu pihak berkuasa dalam Op Hazard pada 15 Februari lalu. Seramai 27 individu termasuk seorang saintis warganegara China telah ditahan.

Dalam operasi itu, pelbagai mesin memproses, peleburan serta makmal digunakan untuk mengurai logam seperti timah, besi, aluminium dan tembaga turut dirampas. Bahan-bahan ini diproses menjadi jongkong logam untuk dieksport ke luar negara.

Sultan Nazrin turut bertitah bahawa kegiatan e-waste haram kini semakin meluas, menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi utama pelupusan sisa global secara tidak sah.

Baginda menegaskan bahawa sindiket terbabit dipercayai menggunakan taktik menipu dokumen serta mengisytiharkan kargo secara tidak tepat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Selain itu, baginda menyatakan bahawa operasi tanpa kawalan itu menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius, termasuk udara, tanah dan air.

“Lambakan e-waste perlu diberikan perhatian serius kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya.

“Sisa toksik yang tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, berisiko mencemarkan alam sekitar, serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia,” titah Sultan Nazrin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat