KUALA LUMPUR – DAP Sabah memaklumkan setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRN17, seperti yang diumumkan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam.
Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya mengambil maklum akan pengumuman dibuat Bung itu dan melihat ia selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan oleh kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, partinya sentiasa mengambil pendekatan terbuka berhubung kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.
“Ingin saya tegaskan, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh politik perkara biasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Semalam, Bung yang yang juga ketua Umno Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang, yang menurutnya diputuskan pada pemukiman parti itu pada akhir tahun lepas.
Sementara itu, Jin Zhe berkata, kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah, bukan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya.
“Justeru itu, DAP Sabah bersedia berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik,” katanya.
“DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya,” katanya.
Jin Zhe juga berkata, pendirian PH Sabah harus dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan gabungan negeri itu dalam masa terdekat.