IPOH, – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bukan sekadar sebuah pertandingan politik biasa, sebaliknya merupakan medan penting yang mencerminkan tahap kematangan demokrasi serta aspirasi rakyat yang mendambakan kepimpinan berwibawa dan berpaksikan nilai.
Ahli Dewan Belia Negeri Perak N.23 Manjoi, Megat DzulHisham Megat Muzaffar Shah menyifatkan PRK ini sebagai ujian besar buat semua pihak, khususnya kerajaan, dalam menzahirkan iltizam terhadap agenda reformasi dan pembangunan yang inklusif, progresif dan mampan.
“PRK Ayer Kuning kali ini bukan semata-mata soal calon, tetapi tentang sejauh mana kesungguhan kita meletakkan rakyat sebagai nadi kepada segala dasar dan tindakan. Ia adalah ruang untuk memperkukuh semangat muafakat serta menyemai budaya politik matang yang berteraskan integriti dan nilai,” ujar beliau,
Menurut Megat DzulHisham, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial tidak akan dapat dicapai tanpa asas kepimpinan yang adil, telus dan berjiwa rakyat.
“Kuasa yang diamanahkan bukan untuk dibanggakan, tetapi digunakan sebaiknya demi kebaikan rakyat seluruhnya. Seperti yang pernah disebut oleh Confucius: ‘When the ruler is just, the people are content.’ Inilah prinsip yang harus menjadi pegangan kita semua,” katanya.
Beliau menzahirkan pandangan menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, menyeru agar PRK kali ini dilihat sebagai satu detik penting yang wajar diisi dengan adab dan hikmah.
“Kita berdiri di tengah gelanggang ini bukan kerana suka-suka, tetapi kerana takdir telah membuka ruang untuk kita memilih semula dengan penuh hikmah dan harapan.
Rakyat tidak menuntut keajaiban. Mereka hanya mahukan pemimpin yang sanggup melakukan perkara kecil dengan cara yang hebat.
Semoga PRK ini berlangsung dengan adab, penuh intelektual, jauh dari fitnah dan perpecahan. Kerana tanggungjawab kita bukan sekadar untuk memenangi undi, tetapi memenangi hati rakyat.”
Mengulas lanjut, beliau berkata kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning bukan ruang untuk politik kebencian atau kerakusan kuasa, tetapi satu amanah yang menuntut pengisian dengan akhlak dan keikhlasan.
“Rakyat kini semakin bijak menilai. Mereka tidak mahu retorik atau janji kosong, sebaliknya mahukan tindakan, hasil dan perubahan yang nyata. PRK ini adalah ruang untuk membuktikan bahawa politik masih boleh berteraskan nilai dan harapan,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa PRK Ayer Kuning mampu menjadi simbol kepada kematangan politik Negeri Perak serta harapan baharu buat generasi muda dan seluruh rakyat yang menantikan kepimpinan berjiwa rakyat.
Megat DzulHisham Bin Megat Muzaffar Shah merupakan Ahli Dewan Belia Negeri Perak bagi sesi 2023–2024, mewakili DUN N.23 Manjoi dan kini calon AJK Angkatan Muda Keadilan Cabang Tambun.