Samsuri bukan penjenayah, tak pernah diletak dalam Senarai Pekeliling Khas – KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis tidak pernah meletakkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata dakwaan kononnya Ahmad Samsuri diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah, adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, istilah TCO yang digunakan Samsuri bagi menggambarkan kononnya beliau dikenakan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa juga tidak tepat kerana TCO atau pegawai kawalan perjalanan sebenarnya adalah jawatan pegawai polis cawangan khas (SB) yang bertugas di pintu keluar masuk negara.

“TCO adalah travel control officer yang bertugas di pintu keluar masuk negara sama ada di lapangan terbang atau di Bukit Kayu Hitam yang mempunyai tugasan tertentu.

“Mungkin apa yang dimaksudkan Ahmad Samsuri itu adalah SPK tetapi nama beliau tidak ada dalam senarai kerana dia bukan penjenayah atau suspek.

“Sebenarnya nama yang ada dalam SPK adalah suspek bagi kes tertentu termasuk jenayah (CID), narkotik atau individu yang terbabit dalam kes 3R yang melarikan diri keluar negara yang perlu ditangkap jika mereka memasuki negara ini,” lapor BH pada Jumaat.

Semalam, Samsuri mendakwa tindakan kawalan pergerakan yang dikenakan ke atasnya menggambarkan seolah-olah beliau adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster atau persona non grata walaupun di tanah air sendiri.

Keadaan itu menyebabkan beliau kecewa kerana ia bukan sekadar label, tetapi mendakwa ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi.

Beliau mendakwa hanya dibenarkan keluar dari kawalan sempadan bagi setiap kali keluar masuk sempadan, walaupun ke Sabah dan Sarawak selepas pegawai penguat kuasa di situ terpaksa membuat panggilan untuk mendapat persetujuan pihak tertentu.

Razarudin berkata, pegawai TCO yang bertugas di pintu masuk negara bekerjasama dengan pegawai imigresen dan kastam bagi melakukan risikan serta meneliti senarai suspak dalam SPK bagi membolehkan tangkapan dibuat untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya kita tahu pergerakan Samsuri kerana pegawai polis sentiasa ada bersamanya sepanjang masa untuk menjaga keselamatannya.

“Cuma mungkin bila TCO bertanya ke mana dia nak pergi ketika melalui laluan VIP untuk keluar negara, dia berasa tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, Razarudin menafikan telefon Samsuri dipintas seperti didakwanya semalam.

Samsuri semalam mendakwa, telefonnya dipintas dan dirinya diekori ke mana saja pergi walaupun atas urusan peribadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat