KUALA LUMPUR – Jika isu dewan selera, tandas, kelas pun pelajar boleh mengadu terus pada saya melalui media sosial, harap isu buli juga tolonglah laporkan, seru Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau merayu supaya budaya buli dihentikan serta-merta.
“Selama dua tahun saya menerajui Mara, ruangan media sosial sama ada di Facebook, Instagram, TikTok mahupun X menjadi ruangan yang saya manfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan maklum balas semua untuk menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera.
“Bila saya mula #Terjah ke Institusi-institusi Pendidikan Mara (IPMA), semuanya berdasarkan aduan dan maklum balas ibu bapa, pelajar dan pendidik. Alhamdulillah banyak perkara seperti isu kartel dan kualiti dewan selera, makanan, tandas, asrama, bilik guru, dan fasiliti lain di IPMA berjaya diselesaikan.
“Justeru saya merayu agar pelajar-pelajar terutamanya jangan sesekali ragu-ragu untuk melaporkan sebarang perilaku buli di asrama.
“Jangan risau dilabel ‘Jibam’, ‘Mat Repot’, ‘Baruw dan sebagainya. Jangan sesekali membiarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk,” gesa beliau.
Menurut Asyraf, semua pihak wajar sama-sama hentikan budaya buli.
“Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA termasuk MRSM.
“Jika saya tahu ada pihak yang cuba tutup atau pertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan amat tegas akan diambil termasuk ke atas pengetua, pengarah, warden, guru atau sesiapa sahaja,” tegas Asyraf.