KUALA LUMPUR– Sokongan padu daripada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama pemerintah Abu Dhabi terhadap usaha memelihara dan memulihara spesies Harimau Malaya di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, peruntukan besar daripada pihak UAE sebanyak hampir RM100 juta menunjukkan bahawa orang luar mula percaya dan yakin akan inisiatif yang diperjuangkan selama ini iaitu memelihara dan memulihara Harimau Malaya serta melindungi alam sekitar.
“Maka, patik benar-benar berharap agar Kerajaan Malaysia mahupun Kerajaan Negeri Pahang bahkan seluruh penduduk setempat juga harus memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif pemuliharaan Harimau Malaya ini.
“Pelaksanaan prinsip amalan terbaik berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada semua peringkat haruslah dilaksanakan secara lebih menyeluruh mulai sekarang.
“Kita tidak perlukan bangunan tinggi dan moden di kawasan Ulu Tembeling, sebaliknya, Hulu Tembeling harus mengekalkan keunikannya dengan kehijauan hutan, kedinginan udara dan kelestariannya,” titah Tengku Mahkota Pahang ketika berkenan berangkat ke majlis Sambutan Aidilfitri bersama rakyat di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, di Jerantut baru-baru ini.
Berangkat sama Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut sama ialah tetamu kehormat dari UAE iaitu Presiden IUCN yang juga Pengarah Urusan Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed Bin Zayed Razan Khalifa Al-Mubarak; Pemangku Ketua Pengarah Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed Bin Zayed Nicholas Erich Ahmed Heard dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Panthera Frederic Joelpierre Launay.
Dalam pada itu, Tengku Mahkota Pahang bertitah bahawa pasukan Sultan Pahang sendiri iaitu Enggang Management Services (EMS) memastikan penduduk di Ulu Tembeling akan turut menerima limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan daripada pewujudan Rizab Harimau Diraja ini.
“Jadikan tempat ini sebagai kawasan eko-pelancongan. Berikan kursus dan latihan yang bersesuaian kepada penduduk seperti latihan hospitaliti, komunikasi, latihan keselamatan.
“Wujudkan chalet dan kemudahan lain yang lebih kondusif. Patik berharap kerajaan juga perlu membantu dengan menambah baik infrastruktur seperti jalan-jalan masuk dari Kuala Tahan serta jalan perhubungan kampung perlu dinaik taraf,” titah Tengku Hassanal.
Tengku Mahkota Pahang juga bertitah, perkara sama yang turut perlu diberi perhatian ialah fasiliti di sekolah, pusat kesihatan, serta jaringan komunikasi yang lebih berkesan perlu ditingkatkan sama sekali,” titahnya.
Tengku Hassanal turut menegaskan bahawa Harimau Malaya bukanlah ancaman kepada manusia selagi makanannya di dalam hutan serta bilangan pasangannya mencukupi.
“Jadi, penduduk janganlah memburu rusa dan makanan harimau ini. Salah satu program kita di sini adalah untuk mewujudkan kawasan padang ragut agar populasi haiwan mangsa seperti rusa, kijang, seladang dan sebagainya akan meningkat.
“Patik akan memohon pihak Enggang untuk meneliti dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tentang beberapa perkara antaranya meninjau keselamatan kawasan, pelan dan taktik melindungi diri daripada serangan harimau, mengesan harimau melalui sistem GPS seperti di Thailand, jadi, penduduk di kawasan berhampiran akan tahu pergerakan harimau seterusnya boleh merancang perjalanan dengan selamat,” titahnya lagi.
Bagi jangka masa panjang , Tengku Mahkota Pahang memohon agar pihak Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Pahang untuk mengkaji semula tentang mewujudkan kawasan Rancangan Khas (RKK) Ulu Tembeling ini supaya pentadbiran di sini lebih sistematik dan pengurusan sampah lebih terapi.