WASHINGTON – Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China kembali memuncak apabila Presiden Donald Trump mengumumkan kenaikan mendadak tarif terhadap barangan import dari negara Asia itu, mencecah sehingga 104 peratus.
Langkah drastik itu diumumkan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, yang menyatakan bahawa keputusan ini adalah reaksi kepada kegagalan China menarik semula rancangannya untuk mengenakan tarif balas terhadap barangan dari Amerika Syarikat.
“Presiden Trump pada awalnya hanya mempertimbangkan tarif tambahan sebanyak 34 peratus, namun susulan tindakan balas China, beliau memutuskan untuk menaikkan kadar itu kepada 104 peratus secara keseluruhan,” jelas Leavitt dalam satu kenyataan media, Selasa.
Difahamkan, tarif tambahan tersebut merangkumi 34 peratus yang telah dirancang lebih awal, diikuti dengan tambahan 50 peratus selepas Beijing enggan berganjak dari pendiriannya, dan selebihnya adalah sebahagian daripada dasar penyelarasan perdagangan baharu.
Susulan perkembangan itu, Kementerian Perdagangan China menyatakan pendirian tegas mereka dengan menyifatkan tindakan Washington sebagai keterlaluan dan tidak produktif.
“Penambahan 50 peratus tarif terhadap barangan dari China adalah satu kesilapan besar dan mencerminkan keputusan yang berlapis kesilapan,” menurut kenyataan rasmi kementerian itu.
Beijing turut memberi amaran bahawa mereka akan memperhebatkan tindak balas terhadap eksport Amerika Syarikat, walaupun perincian lanjut belum didedahkan.