Siasatan Kebakaran Paip Gas: Polis Kenal Pasti Kontraktor Terlibat

- Advertisement -

SUBANG JAYA, 2 April – Polis akan memanggil kontraktor yang dipercayai menjalankan projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, setelah pihak berkuasa mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata setakat ini polis masih dalam proses pengesahan identiti dan penglibatan pihak berkaitan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Tindakan susulan akan diambil selepas siasatan lengkap, termasuk merujuk kepada pihak berkuasa tempatan dan Petronas bagi menyemak sama ada permit kerja telah dikeluarkan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Subang Jaya, hari ini.

Beliau turut mengulas berita tular di media sosial yang mendakwa kejadian tersebut berpunca daripada kerja-kerja pengorekan di kawasan berkenaan.

Setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada mangsa yang menerima rawatan di hospital serta di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Azlan mengesahkan masih terdapat kebakaran kecil di beberapa rumah yang terlibat. Oleh itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menempatkan sebuah jentera dengan enam anggota bagi memantau kemungkinan kebakaran baru serta mengelakkan bara api merebak ke kawasan lain.

“JBPM akan membuat inventori kerosakan rumah yang terlibat secara terperinci dan bersiap siaga jika berlaku kebakaran susulan,” katanya.

Sehubungan itu, hanya penduduk di kawasan yang kurang terjejas dibenarkan masuk untuk mengambil barang keperluan dan dokumen penting dengan pengiringan pasukan keselamatan.

“Bagi penduduk di lorong yang terjejas, kami meminta mereka untuk bersabar dan pihak berkuasa akan memberi maklumat terkini dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk, Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman telah dikerahkan untuk menilai kawasan kejadian dengan menumpukan aspek jenayah serta rondaan keselamatan selama 24 jam.

Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata pemantauan terkini oleh Petronas setakat jam 7 pagi ini mendapati tiada lagi gas dalam saluran paip yang terbakar, menandakan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat untuk siasatan lanjut.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat