KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia memohon kebenaran daripada Mahkamah Rayuan bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.
Peguam Zainur Zakaria yang mewakili Majlis Peguam berkata, notis rayuan tersebut difailkan pada 3 Disember tahun lalu.
Pada 11 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata, permohonan itu di luar bidang kuasa mahkamah dan remeh kerana beliau berpendapat keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Lembaga Pengampunan adalah sebahagian daripada proses bersepadu yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh YDPA.
Pada 26 April lalu, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.
Majlis Peguam memohon deklarasi keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Badan itu juga memohon deklarasi keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal, lapor Bernama pada Jumaat.
Najib, 71, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.-SUARATV