KUALA LUMPUR — Sebanyak 38 agensi pelancongan, persatuan dan kraftangan Malaysia akan menyertai lawatan ‘Jelajah Nusantara’ dalam rangka promosi Tahun Melawat HomeStay 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 bermula 15 sehingga 19 Disember 2024 nanti.
Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan berkata, penyertaan Malaysia dalam jelajah kali ini mendapat sokongan penuh dari kedutaan besar Malasysia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Husein dan Pengarah Tourism Malaysia, Hair Mohd Yakzan.
“Disamping itu kita juga membawa chef atau tukang masak dari Malaysia serta kumpulan kebudayaan Malaysia dan ini dilakukan bagi merapatkan hubungan negara jiran, Malaysia-Indonesia khususnya melalui pelancongan dan ekonomi kreatif serta mempromosikan produk produk dan ‘homestay’.
“Apatah lagi perkembangan ‘homestay’ kini telah mula meningkat dan dapat dilihat dengan kedatangan ramai pelancong pelancong dari berbagai negara khusus yang berkunjung ke Malaysia dan menginap di ‘homestay’,” katanya.
Kedutaan Besar Malaysia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Husein turut menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan yang telah membuat perancangan serta aktiviti bagi program tersebut.
“Kita menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan penuh semangat dan aspirasi baru dalam usaha untuk menghidupkan semula industri pelancongan pasca-pandemik, tahun ini dijangka menjadi titik tolak penting bagi negara ini dalam menarik pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Jelajah Nusantara akan bermula dari Jakarta, Bogor & Bandung selama lima hari bermula 15-19 Disember 2024.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyasarkan kedatangan pelancong luar negara sebanyak 35.6 juta sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2025.
Tema Jelajah Nusantara ini bukan sahaja memanifestasikan kerjasama erat antara Tourism Malaysia dan homestay Malaysia, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merancang percutian mereka sambil menikmati pengalaman pelancongan secara langsung melalui aktiviti seni, kraf tangan, budaya serta warisan tempatan.