KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini umum melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).
Pengumuman tersebut dibuat melalui satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.
Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas, memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pihak pengurusan PN pada hari ini (Rabu).
“Assalammualaikum kepada semua sahabat, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya, Ahmad Samsuri Mokhtar telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung PN pada hari ini, Rabu, 11 Disember 2024.
“Sekian. Harap maklum,” lapor Harakahdaily.
Peletakan jawatan ini disifatkan agak mengejutkan memandangkan Ahmad Samsuri dilihat sebagai antara tokoh utama Pas yang merupakan salah satu parti komponen dalam PN.
Selain itu, beliau dikenali sebagai pemimpin berprofil tinggi dalam Pas dan turut memegang jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pengurusan PN berhubung perkara ini.
Bahkan, punca peletakan jawatan ini juga masih belum didedahkan secara rasmi oleh Ahmad Samsuri atau mana-mana pihak berkepentingan dalam PN.
Juga sebarang spekulasi mengenainya masih belum disahkan.
PN dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.