KUALA LUMPUR – ‘Ya ada perbincangan. Berbincang itu semua memang berbincang tak terkecuali dengan Warisan, begitu jelas Datuk Mohammad Yusof Apdal apabila ditanya mengenai rundingan gabungan untuk menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Ketua Warisan Lahad Datu itu berkata, apa sahaja bentuk gabungan politik yang diwujudkan menjelang PRN Sabah, keputusannya masih tertakluk di bawah kuasa rakyat.
Bercakap kepada Suara TV, beliau berkata pihaknya sentiasa terbuka dalam membentuk mana-mana kerjasama dengan parti politik di negeri itu.
“Kita terbuka, cuma kita perlu melihat perjuangan maksudnya kena betul betul ada keikhlasan itu.
“ Jika nak berkerjasama dengan kita jangan korbankan Sabahan, baik dari sudut pembangunan mereka, hak hak mereka, kita akan berkerjasama dengan mana mana parti bukan semata mata untuk menang PRN tetapi untuk memperjuangkan rakyat Sabah.
“Kita di sini untuk Sabahan (rakyat Sabah). Orang sabah kena faham apa yang kita perjuangkan. Kita harap orang sabah lihat dan nilai mana satu yang betul betul memperjuangkan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai adakah berlaku perbincangan gabungan bersama parti Perikatan Nasional, beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu itu dengan tegas menafikan kenyataan tersebut dan menganggap kenyataan ini datang dari pihak lawan.
Tambahnya sekalipun wujud perbincangan yang ingin dilakukan, ia perlu dibuat melalui pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ura ura menyatakan kita berkerjasama dengan Perikatan Nasional itu orang yang tak suka kita untuk ubah persepsi orang ramai. Mana mungkin kita berbincang dengan pembangkang.
“Itu kita serah pada pucuk pimpinan. Jika nak bincang, bincang lah dengan Perdana Menteri ini di peringkat persekutuan.
“Kalau di peringkat persekutuan kita cuma ada satu ketua sahaja, dan satu kerajaan gabungan kerajaan perpaduan itu sahaja. Yang penting kita berkerja untuk Sabah,” ujarnya.
Yusof turut menegaskan bahawa pihaknya komited dalam usaha membangunkan Sabah untuk menjadi lebih maju bukan semata-mata kerana adanya PRN di negeri itu.
“Kita telah berkerja bukan semata mata untuk menghadapi pilihanraya, kita kerja untuk rakyat. Tak ada pilihanraya pun kita akan tetap kerja, bersedia untuk membela rakyat.
“Kita tahu dalam politik ini semua orang nak menang, tapi tidak semestinya mereka ingin memperjuangkan Sabah. Kita menghadapi PRN ini kebetulan sahaja, kita di Warisan sentiasa memperjuangankan rakyat Sabah.
“Walaupun kita bukan kerajaan yang memerintah negeri, tetapi kita membuat kerja dan rakyat akan melihat dan menilai. Kita terus berkerja dan biar rakyat menilai,” katanya.