KUALA LUMPUR – ‘Hutang negara bertambah hampir RM200 bilion dalam tempoh dua tahun atau hampir kira-kira RM90 bilion setahun dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tegas Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam dewan rakyat hari ini.
Ketua Pembangkang semasa membahas Belanjawan 2025 menjelaskan, hutang negara tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.17 trilion pada tahun lepas, meningkat RM92.9 bilion atau 8.6 peratus berbanding RM1.080 bilion pada 2022.
Menurutnya fakta ini jelas terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara bilangan 3/2024 yang boleh dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Bermakna kadar hutang negara berbanding KDNK sudah mencapai 64.3 peratus pada 2023 berbanding 60.2 peratus pada 2022.
“Kedudukan Liabiliti Persekutuan pada akhir 2023 juga menunjukkan peningkatan dengan Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK pada kadar 81.8 peratus berbanding 78 peratus pada 2022,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Perikatan Nasional (PN) meneliti setiap aspek dalam Belanjawan 2025 yang berjumlah RM421 bilion, di mana RM335 bilion diperuntukkan sebagai belanja mengurus manakala RM86 bilion lagi sebagai belanja pembangunan.
Jelasnya kerajaan banyak berbelanja untuk hutang di mana lebih banyak wang diperuntukkan untuk membayar faedah iaitu berjumlah RM55 bilion, berbanding subsidi dan bantuan sosial yang bernilai RM53 bilion.
“Ini bermakna, lebih banyak wang diperuntukkan untuk membayar hutang berbanding subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.
“Kita sedar bahawa terdapat unjuran hampir RM40 bilion secara usahasama awam swasta melalui GLIC menjadikan keseluruhan pelaburan awam untuk pembangunan bernilai RM120 bilion.
“Mengambil kira pertumbuhan ekonomi tahun hadapan yang dianggarkan sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus ia sesuatu yang positif – tetapi meskipun menjangkakan hasil lebih tinggi, kerajaan sebenarnya perlu membelanjakan melebihi 80 peratus daripada hasil untuk membiayai perbelanjaan operasi,” katanya.
Ahli Parlimen Larut itu menambah, tumpuan harus diberikan kepada usaha mencipta enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dan bukan semata-mata berkisar kepada perluasan cukai sedia ada, pengenalan cukai-cukai baharu dan pemotongan subsidi
“Selain itu, kerajaan juga tidak berbelanja untuk masa depan. Perbelanjaan pembangunan tetap sama pada kadar RM86 bilion, sama seperti 2024.
“Kita sedar belanjawan 2025 ini menunjukkan bahawa penyumbang utama kepada hasil adalah melalui cukai pendapatan sebanyak 41.8 peratus dan hasil bukan cukai sebanyak 19.2 peratus,” katanya.