Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Muzium dan ilmu taksonomi tidak boleh dipisahkan dan saling bersimbiosis, kerana segala bukti fizikal tentang kepelbagaian spesies organisma flora dan fauna ini disimpan dan dipamerkan di semua Muzium Alam Semulajadi hampir di seluruh dunia.
Ahli – ahli taksonomi telah menjadikan muzium sebagai gedung untuk mengkaji dan menyelesaikan isu berkaitan pengenalpastian sesuatu organisma.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Sejarah Alam Semula Jadi 2024 di Auditorium JMM, dekat sini pada Khamis.
Beliau berkata, ilmu taksonomi membolehkan pengecaman spesies organisma flora dan fauna yang tidak diketahui namanya akan dikelaskan dengan cara membandingkannya dengan semua spesies yang diketahui untuk diklasifikasikan kepada tahap taksonomi yang berbeza berpandukan ciri morfologi dan genetik.
Menurutnya, pada masa kini, apa yang dibimbangkan adalah bidang ini semakin kurang mendapat perhatian malah kurang diceburi oleh graduan tempatan.
Selain itu, jarang juga dibincangkan tentang bagaimana perkembangan ilmu ini semasa era kegemilangan ilmuan Islam dan ilmuan zaman tamadun Melayu.
“Seminar ini menjadi platform yang amat sesuai untuk kita sama-sama mendengarkan kupasan oleh ahli-ahli panel yang akan menelusuri perubahan taksonomi kuno kepada moden serta sejarah dan perkembangannya di negara kita,”katanya
“Kemunculan Muzium-muzium besar dan ternama seperti National d’Histoire Naturelle (1793) di Paris, Perancis serta Natural History Museum London (1881) telah merancakkan lagi perkembangan bidang taksonomi ini apabila jutaan koleksi flora dan fauna contoh dari serata dunia di kumpulkan dan dikaji oleh para saintis.
Begitu juga, dengan Muzium Perak (1883), Muzium Selangor (1899) dan Muzium Sarawak (1891), begitu banyak contoh spesimen flora fauna yang telah dikumpul untuk kajian dan masih dipelihara sehingga ke hari ini, ”katanya lagi.
“Muzium Alam Semula Jadi, JMM kini menyimpan lebih 76 ribu spesimen dan ada yang telah dikumpul seawal tahun 1880an lagi.
“Selain itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR); Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITAN); Jabatan Perhutanan, dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut menyimpan ribuan koleksi spesimen, menjadi khazanah negara perlu dipelihara,”ujarnya.
“Malaysia memiliki hutan hujan tropika yang sangat kaya dengan kepelbagaian biodiversitinya, namun sehingga kini masih banyak lagi fauna dan flora yang masih belum dikenalpasti.
“Justeru, kita harus menyedari bahawa ilmu taksonomi inilah masih releven kerana ia adalah asas yang sangat penting dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biodiversiti negara kita.
“Kesedaran yang tinggi dalam menjaga alam sekitar perlu disemai, terutamanya kepada generasi muda yang akan mewarisi bumi ini.
“Dengan pendidikan dan pendedahan yang betul, kita boleh memastikan bahawa sejarah alam semula jadi kita tidak akan hilang ditelan arus pembangunan, ”ujarnya lagi.
Menerusi kenyataan oleh JMM memaklumkan, penganjuran seminar ini bagi menyampai dan menyebarluas kan dapatan pakar-pakar dalam bidang ilmu sains taksonomi yang berkaitan dengan evolusi, pengecaman, pengelasan (klasifikasi), pembezaan dan penamaan spesies, genus dan famili sesuatu organisma sama ada mikroorganisma haiwan mahupun tumbuhan.
Katanya, segmen forum pula telah menampilkan panel yang mempunyai kepakaran dalam berpengalaman luas dalam bidang masing-masing bagi mengupas aspek sejarah perkembangan ilmu sains taksonomi yang jarang sekali dibincangkan.
Antaranya, Pensyarah Pusat Pengajian Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts Dr. Ahmad Firdhaus Arham sebagai moderator.
Tiga lagi panel iaitu mantan Dekan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) & Universiti Brunei Darulsalam (UBD) , Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohamed Abdul Majid; Pensyarah Kuliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr. Abdurezak Abdulahi Hashi, dan Pensyarah Kuliyyah Teknologi Maklumat & Komunikasi, UIAM, Profesor Madya Dr. Nor Saadah Md. Nor.
Menurutnya kenyataan itu lagi , dapatan yang dikongsikan oleh ahli panel dalam forum ini membolehkan para pengamal muzium, ahli bidang dan masyarakat memahami dengan lebih mendalam berkaitan perubahan taksonomi kuno kepada moden.
“Selain itu, sejarah perkembangannya di Malaysia serta isu yang meliputi bidang yang kian dipinggirkan ini walaupun ia adalah komponen asas yang penting dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti.
“Penganjuran seminar yang memfokuskan kepada aspek sejarah perkembangan ilmu sains taksonomi sekaligus sebagai wadah dan platform untuk menyebarluaskan fungsi dan peranan JMM,”tambahnya.
“Seramai 186 orang peserta terdiri daripada pelajar IPT, agensi kerajaan dan swasta telah menghadiri seminar ini secara fizikal , ”tambah kenyataan itu lagi.-SUARA.TV