KUALA LUMPUR — Kerajaan komited terhadap tadbir urus, akauntabiliti dan keadilan sosial dengan memastikan faedah pertumbuhan diagihkan secara adil dan saksama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel, tarif elektrik dan pengapungan harga barang sebelum ini bukanlah untuk menyusahkan rakyat
Sebaliknya, beliau menjelaskan, rakyat secara keseluruhan akan terus menikmati subsidi yang sepatutnya mereka miliki, orang kaya dan industri besar.
“Adakah dengan mengambil tindakan ini (penyelarasan subsidi) termasuk melaksanakan pelarasan tarif elektrik dan mengapungkan harga beberapa barangan adalah untuk menyeksa dan menyebabkan penderitaan kepada rakyat?
“Kami sanggup mengambil tindakan yang tidak popular daripada mengambil jalan selamat dengan memberi janji kosong tanpa melakukan sebarang tindakan sehingga membawa negara ke arah kebankrapan.
“Berbilion ringgit yang dijimatkan kini disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk subsidi lain dan pemindahan tunai.
“Itulah yang kerajaan lakukan dan akan terus lakukan, seiring dengan usaha kami meneruskan pembaharuan struktur secara berani,” katanya dalam ucapan sebelum pelancaran Forum Megatrend Khazanah 2024, di sini pada Isnin.
Anwar menambah, rakyat di negara ini juga berpeluang untuk maju dan setiap individu yang ditugaskan melaksanakan dasar kerajaan mesti mematuhi standard tertinggi tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti.
Dalam ucapan yang sama beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam kempen menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Pembaharuan struktur juga harus membawa erti keberanian dan komitmen teguh untuk mengambil tindakan terhadap penjenayah, pengaut keuntungan yang tidak beretika dan penyalahguna kuasa yang jahat, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam tindakan yang tegas, jelas dan proaktif kita dalam menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.