KUALA LUMPUR – Bagi menzahirkan solidariti dan dokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin, PAS mengesahkan akan menghantar wakil rasmi bagi memberikan penghormatan terakhir dan menyertai upacara pengebumian jenazah As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh yang dijadualkan berlangsung di Doha, Qatar, Jumaat ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan memaklumkan tiga tokoh PAS yang dihantar ialah Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat; Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dan Wakil Lajnah Parlimen PAS Pusat; Ahmad Tarmizi bin Sulaiman.
“Pastinya pemergian As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh adalah suatu kehilangan besar terhadap umat Islam seluruhnya, namun ia tidak sesekali akan mematahkan semangat juang para pencinta bumi Al-Quds untuk sepanjang zaman.
“Dalam hal ini, PAS menyeru Kerajaan Malaysia supaya segera mengambil langkah diplomatik ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat, di samping memberikan tekanan antarabangsa untuk menghalang Israel daripada meneruskan kekejaman dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin, selaras dengan keputusan terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta pelbagai resolusi dan ketetapan di pihak PBB dan OIC yang perlu dihormati,” gesa beliau.
Pada masa sama, katanya PAS menegaskan adalah suatu yang tercela dan tidak bermaruah sekiranya Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri masih meneruskan cadangan usahasama MAHB dan Khazanah dengan syarikat BlackRock, yang secara jelas terlibat dalam pembiayaan dan persenjataan kepada regim haram Zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap saudara kita di Palestin; justeru usahasama ini hendaklah sama sekali dihentikan,” katanya sambil menyatakan “Palestin, Perjuangan Tidak Bernoktah,Sokongan Tidak Bermusim”.