Pingat bukan lesen besar diri, Sultan Pahang beri amaran akan tarik balik jika ada salah laku

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah baginda tidak sesekali berkompromi dan tidak teragak-agak menarik balik darjah kebesaran sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara.

Titahnya, setiap pingat yang diterima bukanlah sekadar satu penghargaan tetapi juga satu amanah.

“Setinggi-tinggi tahniah juga beta ucapkan kepada penerima-penerima darjah kebesaran dan pingat negeri pahang tahun ini.

“Di samping itu, beta juga ingin menegaskan penghargaan ini juga membawa tanggungjawab yang besar, ia memerlukan kalian semua untuk terus berusaha dalam menjaga nilai-nilai kesetiaan, kehormatan dan keadilan dalam setiap tindakan.

“Bukannya menjadikan anugerah dunia ini sebagai asbab keangkuhan dan besar diri. Sebaliknya menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat.

“Beta ingin ingatkan juga di sini beta tidak sesekali berkompromi dan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara dalam kalangan penerima,” titahnya, lapor BH.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, di Kuantan pada Selasa.

Pada istiadat itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran. Sultan Pahang berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) kepada Tunku Azizah bersama lapan lagi penerima.

Turut dikurniakan darjah kebesaran SAAS ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Utama Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) yang membawa gelaran Dato’ Sri Diraja

Bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, baginda berdoa semoga Allah SWT terus melimpahi bumi yang tercinta ini dengan keamanan dan kesejahteraan yang berkekalan.

“Semoga negeri Pahang bersama rakyat yang beta kasihi akan terus hidup dengan penuh keberkatan dan sentiasa berada dalam perlindungan serta kerahmatan Allah SWT,” titahnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat