KUALA LUMPUR — World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) telah menerima anugerah ‘Premier Accredited Member’ oleh World Trade Centers Association (WTCA) pada 3 Julai 2024 lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Sri Irmohizam Ibrahim berkata ini menyerlahkan komitmen WTCA ke arah kecemerlangan dan piawaian global dalam memacu perdagangan antarabangsa dan hubungan perniagaan.
“WTCKL amat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan sebagai ‘Premier Accredited Member’ yang berprestij tinggi oleh WTCA.
“Ianya mengesahkan peranan kami sebagai pusat perniagaan utama di rantau ini, dan semangat untuk membangunkan pertumbuhan dan kerjasama di kalangan pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Irmohizam menambah, pencapaian ini adalah bukti usaha keras dan dedikasi warga WTCKL serta sokongan teguh daripada pihak berkepentingan.
“WTCKL sangat berbangga dengan pencapaian ini dan menantikan segala peluang yang mendatang.
“Saya harap WTCKL akan terus berjaya dalam kepakaran kami,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama Pengerusi WTCA, John E. Drew berkata pencapaian ini menunjukkan bahawa WTCKL memenuhi tahap piawaian tertinggi dengan kepakaran dalam ‘Business & Member Services, Commercial Real Estate & Services, and Conferences & Exhibition Services’.
“Bagi pihak WTCA dan barisan Ahli Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) atas pencapaian unggul ini,” katanya.
Beliau berkata program ini mengiktiraf ahli WTC yang memenuhi piawaian bagi kemudahan dan perkhidmatan luar biasa yang secara signifikan memperkukuhkan komuniti tempatan mereka.
“Program ini mempunyai dua tahap akreditasi iaitu ‘Accredited Member’ dan ‘Premier Accredited Member’ bagi mereka yang menyediakan kemudahan serta perkhidmatan pada tahap yang tertinggi.
“Syarat-syarat program ini agak terperinci dan kami sangat bangga dengan ahli-ahli yang menunjukkan tahap kecemerlangan ini.
“Ini adalah bukti usaha keras dan dedikasi warga WTCKL serta sokongan teguh daripada pihak berkepentingan,” katanya.
Akreditasi ini jelasnya secara signifikan memperkukuhkan kedudukan WTCKL dalam rangkaian global WTC, meningkatkan keupayaan untuk menyokong industri Acara Perniagaan dan aktiviti eknomi di Malaysia.