Hanya 50 peratus hasil laut mendarat di Malaysia, lain dicuri akibatkan kerugian RM823.88 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pencerobohan nelayan asing mengakibatkan Malaysia menanggung kerugian sehingga RM823.88 juta selepas hasil laut negara dicuri oleh golongan terbabit sepanjang tahun 2020 hingga 2023.

Lebih malang, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh dan Laporan Sea Around Us, hanya 50 peratus hasil laut negara mendarat di Malaysia manakala selebihnya dicuri oleh nelayan asing ke negara masing-masing.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, sebanyak RM225.22 juta kerugian dicatatkan berlaku pada tahun 2020, RM238.69 juta (2021), RM200.19 juta (2022) dan RM159.77 juta (2023).

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu merangkumi 428 kes pencerobohan kapal nelayan ­asing yang dikesan menjarah hasil laut di perairan negara sepanjang tahun 2020 sehingga 2023.

Beliau berkata, ketirisan dan pencerobohan nelayan asing di perairan negara mengakibatkan kerugian besar apabila ikan-ikan bernilai tinggi seperti ikan merah, jenahak, gamat dijarah oleh kumpulan tersebut di kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ).

“Pencerobohan sebegini berisiko mengakibatkan bekalan ikan berkurangan kerana nelayan asing tidak mendaratkan hasil tangkapan mereka di pusat pendaratan ikan di dalam negara.

“Sekiranya kegiatan ini dibiarkan berterusan untuk jangka panjang, bekalan ikan di perairan negara akan semakin berkurangan dan mengakibatkan kemerosotan hasil laut yang menyumbang 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeluaran 1.79 juta tan metrik hasil bernilai RM16.8 bilion setahun,” lapor Utusan.

Berdasarkan statistik dari tahun 2020 hingga 2023, sebanyak 315 kes tangkapan vesel penangkapan ikan (VNA) adalah membabitkan nelayan dari Vietnam iaitu jumlah tertinggi dilaporkan DOF, APMM dan Polis Marin.

Selain itu, nelayan asing lain yang turut ditahan adalah dari Indonesia (72), Thailand (37) dan lain-lain negara (4).

Mengulas lanjut, Adnan berkata, daripada 1.79 juta tan metrik hasil laut yang disumbangkan, 1.27 juta tan metrik adalah tangkapan marin manakala 506,000 tan metrik lagi adalah hasil akuakultur dan 9,442 tan metrik merupakan pendaratan perikanan darat.

Beliau berkata, industri perikanan menyokong seramai 112,342 nelayan laut, 20,573 penternak akuakultur dan 9,565 nelayan darat.

“Usaha-usaha pemuliharaan biodiversiti yang dilaksanakan di taman laut (kawasan perlindungan marin) pula menyumbang nilai ekonomi keseluruhan sebanyak RM8.7 bilion setahun bagi memenuhi permintaan dalam negara.

“Kekurangan pengeluaran ikan tempatan telah ditampung melalui sektor import yang berjumlah RM6.89 bilion dan permintaan terhadap ikan sebagai sumber makanan dijangka terus meningkat seiring dengan peningkatan penduduk negara ini iaitu daripada 1.78 juta tan metrik pada 2020 kepada 2.55 juta tan metrik pada 2030.

“Kadar pertumbuhan tahunan permintaan ikan sebagai makanan sumber adalah sebanyak 3.8 peratus setahun. Oleh demikian, ketirisan ini harus dibendung untuk kesejahteraan sekuriti makanan negara,” katanya.

Tambah Adnan, berdasarkan statistik, terdapat trend penurunan kes pencerobohan kapal nelayan asing direkodkan selepas tindakan penguatkuasaan diperkasakan oleh agensi penguatkuasa termasuk DOF.

Katanya, DOF, APMM dan Polis Marin melaksanakan penguatkuasaan laut termasuk melalui konsep Inter Ministerial Committee selain menyediakan kepakaran untuk memberikan keterangan bagi semua kes pendakwaan di mahkamah.

“Antara lain, DOF telah melaksanakan Sistem Pas Keluar Masuk Vesel Laut Dalam (SPVC2) di empat pengkalan utama di seluruh negara bagi memastikan kapal laut dalam mendaratkan ikan dalam negara. Pengakalan tersebut adalah Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, Pelabuhan LKIM Kuantan, Pelabuhan LKIM Kuala Perlis, Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis, Sarawak.

“Kita juga menerima banyak aduan nelayan dan melalui pemantauan pusat FISHCOM DOF di Putrajaya, maklumat itu disalurkan jika ada kapal tempatan melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan negara jiran atau pencerobohan kapal nelayan asing melalui sistem satelit dan AIS (Automatic Identification System) kepada APMM untuk tindakan penguatkuasaan.

“Kerjasama serantau untuk membanteras penangkapan ikan secara haram (RPOA-IUU) juga diperkukuhkan melalui platform bilateral dengan negara Vietnam dan Thailand,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat