KUALA LUMPUR – Tindakan terhadap ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang sah menyertai PAS akan diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno, berkata tindakan itu juga akan dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka dan saya serahkan sepenuhnya kepada beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka untuk mengambil tindakan.
“Tindakan itu juga beliau akan bawa kepada Majlis Tertinggi Umno,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif Malaysia-China Institute (MCI), pada Rabu.
Ditanya sama ada beliau mendengar khabar angin terdapat wakil rakyat yang mahu menyertai parti politik lain, Zahid menafikan perkara itu.
Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno sah menyertai parti PAS.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan kemasukan Muhamad Jailani ke parti berkenaan, berkuat kuasa Jun tahun lalu, lapor BH.
Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.
Dengan perkembangan itu, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, meningkat seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.