KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak menangguh dan membatalkan urus niaga penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada GIP milik BlackRock yang bersubahat membunuh rakyat Palestin.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan kekecewaannya susulan jawapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya telah bertanyakan soalan tambahan berkenaan isu paling panas kini iaitu penjualan saham MAHB kepada GIP milik BlackRock yang bersubahat membunuh rakyat Palestin.
“Nampaknya Perdana Menteri tidak hiraukan sama sekali kebimbangan dan kekhuatiran rakyat Malaysia.
“Kita bukan tak setuju KLIA kena naik taraf tapi kita tak boleh terima sama sekali rakan strategik itu adalah GIP-BlackRock! Dari segi moral dan merit ekonomi tiada keperluan sama sekali untuk MAHB dapatkan mereka,” tegas Ketua Armada Bersatu itu.
Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan, Malaysia mampu baiki dan tukar pengurusan MAHB, dapatkan jururunding (consultant) yang baik untuk tingkatkan mutu operasi KLIA dan 38 lapangan terbang lain tanpa korbankan prinsip dan pegangan, hak milik dalam jumlah blok yang besar (30 peratus) kepada sebuah entiti konsortium asing yang punya mudarat yang besar dari segi ekonomi, keselamatan dan moral.
“Rakyat Malaysia tolak urus niaga MAHB-GIP-BlackRock!
“Jangan hina kami wahai kerajaan Madani! Tangguh dan batalkan dahulu, pasti ada jalan lain yang lebih baik untuk Malaysia,” gesa beliau.